Gabungan NGO Cadang tukar Nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga

SHAH ALAM – Satu sidang media anjuran bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI), Gabungan Nasionalis (GN), Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) akan diadakan pada 15 September ini.

Sidang media bermula jam 4.30 petang itu antara lain untuk mengumumkan cadangan rasmi pertukaran nama “Port Dickson” kepada nama baharu yang dicadangkan iaitu “Pantai Dermaga”.

Menurut Pengerusi IDENTITI, Islam Wahyudi Zainudin, usaha itu dilakukan sebagai langkah memperjuangkan identiti kebangsaan dan menolak pengaruh kolonial yang masih kekal dalam penamaan tempat di Malaysia.

“Krisis identiti kebangsaan semakin membimbangkan, terutama dengan pelacuran bahasa kebangsaan di papan tanda dan penyimpangan dalam penjenamaan negara.

“Kami ingin mengembalikan maruah dan jati diri bangsa dengan menghapuskan nama-nama peninggalan penjajah seperti ‘Dickson’,” katanya beliau dalam kenyataan.

Antara objektif utama sidang media itu ialah memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan mempertahankan identiti kebangsaan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Di samping melancarkan petisyen umum bagi menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga serta mengumpul sokongan daripada rakyat Malaysia.

Katanya, petisyen tersebut akan diserahkan kepada Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Mubarak Dohak.

“Petisyen ini mendesak tindakan segera daripada Menteri Besar Negeri Sembilan serta pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Port Dickson untuk memulakan proses pertukaran nama.

“Kami turut mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Malaysia untuk bersama menyokong usaha ini demi menyerlahkan identiti sebenar negara.

“Tiap amalan kita, walau sebesar zarah sekali pun, semuanya Allah hisab. Bersama kita serlahkan identiti Malaysia yang sebenar,” kata beliau.

Cadangan itu dijangka mencetuskan perbincangan hangat di kalangan masyarakat serta pihak berkuasa, khususnya menjelang sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan tidak lama lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *