Mbappe cetus kebangkitan Perancis ke atas Iceland

PARIS – Kylian Mbappe muncul wira apabila menjaringkan satu gol dan mengumpan satu lagi untuk membantu Perancis bangkit menewaskan Iceland 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, sekali gus mengekalkan rekod sempurna dalam Kumpulan D.

Kemenangan itu mengekalkan skuad Didier Deschamps di tangga teratas dengan enam mata daripada dua perlawanan, tiga mata di depan Iceland. Ukraine dan Azerbaijan pula terikat dengan satu mata selepas seri 1-1.

Iceland hampir meraih gol penyamaan dramatik dua minit sebelum tamat apabila Andri Lucas Gudjohnsen menolak bola masuk, namun VAR membatalkan jaringan kerana dia dilihat menarik jersi Ibrahima Konate.

Gudjohnsen sebelum itu menghukum kesilapan Michael Olise untuk membuka jaringan pada minit ke-17, tetapi Mbappe menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum rehat. Penyerang Real Madrid itu kemudian membantu gol kemenangan Bradley Barcola pada minit ke-62.

Perancis terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir selepas Aurelien Tchouameni dilayangkan kad merah kerana terjahan berbahaya, namun tetap bertahan untuk mengekalkan rekod 32 tahun tanpa kalah di laman sendiri dalam kelayakan Piala Dunia, hanya sekali ditewaskan oleh Sepanyol.

“Ia perlawanan yang sukar sepanjang 90 minit. Kami berjaya menjaringkan gol dan itu perkara paling penting malam ini. Selepas rehat kami cuba bermain lebih pantas untuk menggugat mereka. Kami sudah bertemu dua pesaing utama kumpulan, jadi kemenangan ini sangat penting” kata Barcola. “

Deschamps pula memuji kepimpinan kaptennya: “Mbappe berada dalam keadaan mental yang baik. Dia bekerja keras, mencipta peluang dan efektif. Dia seorang pemimpin yang sangat baik untuk keseluruhan pasukan.”

Tanpa Ousmane Dembele dan Desire Doue yang cedera, Perancis terlebih dahulu dikejutkan dengan gol Gudjohnsen.

Namun tuan rumah bangkit apabila Marcus Thuram dan Manu Kone memaksa Elias Rafn Olafsson melakukan aksi menyelamat berganda, sebelum Thuram dijatuhkan dalam kotak penalti dan Mbappe menyempurnakan sepakan itu tepat sebelum separuh masa.

Olise hampir menebus kesilapan apabila rembatannya terkena palang selepas rehat, sebelum Mbappe mengetuai serangan balas pantas dan melorongkan bola untuk Barcola menolak masuk gol kedua.

Mbappe sendiri hampir menambah jaringan ketiga tetapi diselamatkan Olafsson, manakala gol kedua Gudjohnsen di penghujung perlawanan dibatalkan VAR untuk memastikan Perancis pulang dengan tiga mata penuh.

Perancis akan menentang Azerbaijan di laman sendiri pada 10 Oktober, sebelum bertandang ke Iceland tiga hari kemudian. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *