Polis UK tahan lebih 425 penyokong Palestine Action di London

LONDON – Polis Metropolitan London menahan lebih 425 individu dalam satu demonstrasi besar-besaran di sekitar Parliament Square pada Sabtu, sebagai bantahan terhadap pengharaman kumpulan aktivis pro-Palestin, Palestine Action, yang kini diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas di bawah undang-undang anti-keganasan Britain.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh kumpulan Defend Our Juries menarik kira-kira 1,500 peserta, termasuk warga emas dan aktivis pelbagai latar belakang.

Mereka membawa plakad bertulis “I oppose genocide. I support Palestine Action” dan melaungkan slogan seperti “shame on you” serta “resist tyranny”.

Polis melaporkan bahawa sebahagian peserta bertindak agresif, termasuk menumbuk, menendang, meludah dan melempar objek ke arah anggota bertugas.

Lebih 25 tangkapan dibuat atas kesalahan menyerang pegawai polis, manakala selebihnya ditahan kerana menyokong organisasi yang telah diharamkan.

Pengharaman Palestine Action diumumkan pada Julai lalu selepas beberapa ahlinya didakwa menceroboh pangkalan tentera udara dan merosakkan aset ketenteraan bernilai jutaan pound.

Tindakan itu meletakkan kumpulan tersebut sebaris dengan organisasi seperti al-Qaeda dan ISIS, menjadikan sokongan terhadapnya satu kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman sehingga 14 tahun penjara.

Walaupun kerajaan menegaskan pengharaman itu tidak menjejaskan demonstrasi pro-Palestin lain, kumpulan hak asasi manusia mengkritik langkah tersebut sebagai keterlaluan dan mengekang kebebasan bersuara.

Palestine Action kini mencabar keputusan itu di mahkamah, dengan perbicaraan dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *