Mohd. Shah Abdullah
REMBAU – Selepas kira-kira tujuh tahun beroperasi di daerah Rembau, Negeri Sembilan, Persatuan Skuad Amal Rembau atau Amal Team Rembau semakin dikenali penduduk daerah ini dan juga di merata tempat lain.
Melalui kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan, Amal Team Rembau menawarkan perkhidmatan percuma khususnya melibatkan pengurusan jenazah dan van jenazah.
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ini melakukannya secara sukarela dan tidak meminta bayaran daripada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Kami berkhidmat secara sukarela untuk umat Islam di daerah Rembau. Semuanya diberikan secara percuma.
“Kami tidak meminta bayaran tetapi jika ada yang memberikan sumbangan ikhlas kami terima dan dimanfaatkan semula untuk aktiviti kemasyarakatan Amal Team Rembau,” kata Ibrahim Hamzah, Pengasas NGO ini di pejabat operasi Amal Team di Chembong, Rembau.
Memulakan operasi Amal Team pada 2018 secara kecil-kecilan dengan modal sederhana kini pertubuhan itu telah memiliki 5 van jenazah dan sebuah lori khas (kabin) yang digunakan untuk menyempurnakan urusan fardhu kifayah kepada jenazah seperti memandikan dan mengkafankan.
Diakui masyarakat setempat kerana perkhidmatan yang cekap, professional dan telus, Amal Team kini mempunyai 20 tenaga sukarelawan yang sedia berkhidmat 24 jam bila diperlukan.
“Kematian tidak mengira masa dan tempat. Kami harus bersedia.

“Purata dalam sebulan ada 30 kes kematian,” kata Ibrahim yang merupakan anak jati Rembau.
Beliau menjelaskan fokus khidmat pengurusan jenazah itu ialah kepada warga Rembau tetapi jika ada anak Rembau yang meninggal di luar Rembau atau orang luar yang menetap di Rembau, Amal Rembau tetap menyantuni mereka yang terlibat.
Selesai mandi dan kafan, urusan selanjutnya untuk upacara solat jenazah dan pengkebumian dilakukan sendiri oleh anak kariah di masjid atau surau masing-masing.
“Kita hanya fokus menyediakan khidmat van jenazah dan penyempurnaan jenazah seperti memandikan dan mengkafankan,” katanya.
Menurut beliau, Hospital Rembau sendiri bekerjasama rapat dengan Amal Team jika ada kes kematian.
Amal Team siap sedia turun padang menguruskan jenazah tersebut sehingga selesai dikafankan, sebelum disolat dan dikebumikan di kariah masing-masing.
Berdasarkan prestasi perkhidmatan yang ditawarkan dan menjadi kebanggaan warga Rembau, Yang Teramat Mulia Undang Luak Rembau baru-baru ini telah memberi perkenan untuk dilantik sebagai Penaung Amal Team Rembau.
“Undang Luak Rembau merupakan Ketua Agama yang memayungi semua hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu di daerah ini,” katanya.
Ibrahim berkata, semua aktiviti Amal Team tertakluk kepada prosedur audit yang ketat. Semua laporan aktiviti, perincian perbelanjaan melibatkan kewangan dan mesyuarat agung tahunan mesti dijalankan mengikut jadual.

“Kami dipantau rapi oleh pihak berkuasa seperti Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mahu memastikan aspek ketelusan dan professionalisme diberikan keutamaan,” katanya.
Amal Team Rembau berdaftar dengan ROS sejak 2021.
Beliau berharap Amal Team Rembau akan terus menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh dedikasi, tulus ikhlas dengan satu hasrat yang murni – berbakti kepada umat yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin menyumbang secara ikhlas kepada NGO ini boleh berbuat demikian kepada CIMB Bank melalui nombor akaun 8604745937 atas nama Persatuan Skuad Anak Rembau NS.
Mohd. Shah Abdullah merupakan Penasihat Editorial NasionalDaily dan bekas Pensyarah Komunikasi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001