BRIGHTON – Pep Guardiola berkata, Manchester City kendaliannya ‘lupa cara bermain’ selepas tewas 2-1 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.
City mendominasi babak pertama dan Erling Haaland memecah kebuntuan pada minit ke-88 pada penampilan ke-100nya di Liga Perdana Inggeris.
Namun penyerang Norway itu juga mensia-siakan beberapa peluang untuk melebarkan kedudukan, sekali gus memberi ruang kepada Brighton untuk bangkit.
James Milner menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-67, sekali gus menjadi penjaring kedua tertua dalam sejarah liga.
Kemudian, Brajan Gruda menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk memberikan City kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan liga musim ini.
Ditanya apa yang mengubah perlawanan, Guardiola berkata: “Penalti. Kami yang mensia-siakan perlawanan. Kami lupa cara bermain. Kami memilih untuk bermain hantaran jauh, itu tidak mengapa, tetapi perlu bersedia untuk memenangi bola kedua. Kami tidak bersedia untuk itu.
“Momentum dalam Liga Perdana sentiasa berubah selepas gol, dan memang itulah yang berlaku. Tetapi pada ketika itu kami lupa untuk terus bermain seperti yang kami lakukan dengan cemerlang pada sejam pertama menentang lawan yang sukar,” kata Guardiola.
Selepas memulakan musim dengan kemenangan ke atas Wolves, City kini tewas dua kali berturut-turut, termasuk kekalahan 2-0 di laman sendiri kepada Tottenham minggu lalu.
Ia permulaan yang membimbangkan buat Guardiola, selepas musim lalu City menyerahkan takhta juara empat tahun berturut-turut kepada Liverpool.
Mereka menamatkan musim 13 mata di belakang Liverpool, tersingkir awal di Liga Juara-Juara sebelum pusingan 16 terbaik, dan tewas mengejut di final Piala FA kepada Crystal Palace.
Guardiola berharap perbelanjaan besar dalam jendela perpindahan Januari dan musim panas mampu menyuntik semula semangat, namun pulangan awal kelihatan mengecewakan.
Pengendali dari Sepanyol itu cuba menekankan perkara positif, tetapi rehat perlawanan antarabangsa bakal menjadi tempoh yang tidak selesa ketika beliau cuba merungkai masalah City, yang akan berdepan Manchester United pada 14 September.
“Kami bolos satu gol dan selepas itu kami jadi tidak stabil. Bukan kerana saya tidak tahu betapa bagus dan kuatnya mereka (Brighton), tetapi kerana kami lupa untuk terus bermain. Anda tidak boleh berhenti bermain walau sesaat,” katanya.
Brighton tampil lebih berbisa selepas pengendalinya, Fabian Hurzeler membuat empat pertukaran di pertengahan babak kedua, termasuk memasukkan Milner dan Gruda yang mencetus kemenangan. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001