SHAH ALAM – Struktur asas sosial negara ini dibina atas penyatuan rakyat yang pelbagai kaum dan etnik, kata Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Kata beliau, itulah perjanjian kemerdekaan yang dicapai 68 tahun lalu dan bagi mengekalkan kemerdekaan itu, perpaduan memainkan peranan utama yang perlu didokong semua lapisan rakyat.
Maka, katanya, kemerdekaan negara ini perlu dipertahankan bagi menjamin kemakmuran hidup rakyat masa kini dan masa depan.
“Walaupun wujud perbezaan, ia adalah suatu kekuatan rakyat dalam membina Malaysia yang maju dan makmur selari dengan sifat ‘baldatun thayyibatun warabbun ghaffur’.
“Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak orang Melayu dan kepentingan kaum lain serta kedudukan Islam dan keistimewaan Raja-raja Melayu teguh terpahat dan tidak sama sekali boleh dirombak.
“Pembangunan negara yang mampan akan menjamin kesejahteraan hudup rakyat. Malaysia madani yang sedang dibina telah meletakkan Malaysia di landasan yang betul dengan pemulihan ekonomi menepati halatuju yang tepat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, data menunjukkan inflasi terendah dalam 51 bulan pada kadar 1.2 peratus untuk bulan Mei 2025, manakala kadar pengangguran pula menurun ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun iaitu 3 peratus pada April 2025.
Di samping itu, kata Muhammad Faiz, jumlah pelaburan diluluskan untuk suku pertama telah melonjak mencecah RM90 bilion, di mana lebih RM60 bilion adalah daripada pelabur asing.
“Malaysia juga adalah satu-satunya negara yang melonjak 11 tangga dalam World Competitiveness Ranking 2025 dan mencapai kedudukan ke-23, iaitu prestasi terbaik sejak tahun 2020.
“Dengan kekuatan ekonomi yang dibina hari ini membolehkan pelbagai manfaat untuk rakyat diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk bantuan tunai, projek perumahan mampu milik, penerusan subsidi dan pengurangan bil elektrik. Inilah nikmat sebuah negara yang merdeka.
“Walaupun terdapat usaha sesetengah pihak yang terdesak untuk merobek perpaduan dan merobohkan kestabilan dengan menunggang isu perkauman, namun rakyat Malaysia harus memilih untuk mengekalkan perpaduan dan kestabilan,” ujar beliau.
Kata beliau, fitnah dan pembohongan adalah musuh utama negara dan perlulah ditentang oleh rakyat Malaysia, jika tidak kemerdekaan yang kita nikmati ini boleh luntur.
“The price of freedom may be high, but never so costly as the loss of freedom” (Ronald Reagan).
“Kemerdekaan adalah satu kebanggaan, kebebasan adalah satu warisan dan perpaduan adalah satu kekuatan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001