Harapan Rakyat Biasa Menjelang Hari Kemerdekaan Tanah Air Tercinta

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

SAYA katakan dengan jelas perasaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan negara ke-68 tahun ini sungguh berasa pesimis. Kenapa?

Sebelum menjawab pertanyaan ini, saya akui negara kita indah, cantik, permai, aman, stabil, makmur dan rakyat berbilang kaum hidup bersatu padu dalam kepelbagaian.

Kemudahan prasarana tersedia banyak memberi kemudahan kepada rakyat. Lihat sahaja laluan lebuhraya dari Utara ke Selatan, Timur dan Barat.

Sistem pengangkutan kita memuaskan. Perkhidmatan keretapi yang disediakan ada pelbagai jenis, komuter, ERL, Monorel, LRT, MRT selain perkhidmatan bas yang menawarkan perkhidmatan di banyak laluan dalam bandar dan desa. Sesetengahnya percuma, hanya penumpang yang tiada.

Soal makanan, sebut sahaja apa yang dihajati. Makanan tradisi, barat, Arab, Korea, Jepun, Itali, Cina, makanan segera, semua mudah diperolehi. Malas ke restoran, kita boleh memesan lewat grab food atau apa sahaja yang mudah. Waktu dinihari pun, kedai Mamak masih beroperasi.

Umumnya, kehidupan kita memang senang meskipun berdepan segala cabaran dan rintangan. Adakalanya ribut krisis melanda.

Sedikit waktu dahulu, kita menghadapi krisis kekurangan bekalan telur ayam dan beras. Pasaran kita kekurangan stok, harga melonjak.

Sesekali kita juga berdepan krisis banjir kilat. Sesetengah tempat lumpuh. Sana sini, pokok tumbang, banyak kenderaan terjejas.

Mutakhir ini, tiba-tiba berlaku pula kejadian gempa seperti yang melanda daerah Segamat, Johor. Meskipun berskala rendah, kebimbangan itu tetap ada. Sementelahan kita lazimnya bebas daripada ancaman gempa bumi tidak seperti sesetengah negara yang merupakan fenomena biasa.

Rakyat berbilang kaum kita di permukaan nampak tenang, tenteram, damai dan masih boleh berinteraksi meskipun kita selalu dimomokkan dengan lagu perkauman.

Masalahnya, tiada siapa boleh menafikan dalam urusan muamalat Melayu, Cina dan India mesti berhubungan. Khususnya orang Cina yang menguasai sektor perniagaan dan korporat, sudah pasti interaksi dengan orang Cina tetap berlaku.

Apakah semua gambaran baik yang dinyatakan hanyalah sebuah harapan palsu dan cerita dongeng semata-mata.

Jika 68 tahun merdeka, saya masih berasa pesimis, mengapa ini terjadi?

Inilah jawapan saya. Politik merosakkan kita semua. Orang politik berebut kerusi, pengaruh, kuasa dan laba. Lalu, pemain politik mencipta isu dan memainkan gurindam perkauman, agama dan suka menconteng arang ke muka sendiri.

Aktor dan aktivis politik mencipta musuh menggunakan nama agama dan perkauman.

Kononnya Islam tercabar, kedudukan bangsa tergugat@terancam, gurindam ini mudah menyentuh emosi orang kita.

Seolah-olahnya kita hanya mahu negara ini hanya dominasi satu bangsa. Kaum-kaum lain seolah-olahnya tidak pernah wujud sedangkan mereka telah lahir, besar dan hidup lama di sini.

Puncanya, sekali lagi orang politik. Mereka hanya mencari perbatuan politik.

Kemudian ada juga sesetengah Lembaga Swadaya Masyarakat (NGO) yang menumpang sekaki. Isu agama dan kaum menjadi bahan pelaris.

Selama 68 tahun merdeka, isu agama dan kaum mudah menyentap emosi. Di sebalik segala keindahan dan kecantikan negara kita Malaysia ini, semua boleh musnah dalam sehari semalaman.

Sekarang saban hari wacana Kerajaan Madani vs barisan pembangkang hanya berpaksi kepada mencari keburukan dan kesalahan. Buatlah apa sahaja kebaikan, semua itu terhijab kerana KUASA!

Itu sahaja penyebab dan punca saya pesimis. Jika semua aktor politik kita boleh bertindak lebih cerdas, matang dan beradab, kita boleh melakar lebih banyak cerita-cerita kejayaan sekarang dan masa ke muka.

Saya tetap sayang negara, bangsa dan watan tercinta. Saya tetap penganut agama yang konservatif – saya hanya merujuk agama kepada kitab al-Quran dan pedoman hadis muktabar. Saya menolak dogma, tahyul dan permainan emosi.

Saya tetap berpegang kepada Mazhab Tengah – aliran kesederhanaan dan percaya sungguh ikhtiar Madani boleh berjaya jika kita bertindak atas faham ilmu, agama dan amal yang betul.

Selamat Hari Kemerdekaan ke-68 kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya pesimis kerana mahu negara mencapai tahap optimisme dalam semua juzuk pembangunan bangsa dan negara.

Mohd. Shah Abdullah ialah Penasihat Editorial NasionalDaily dan bekas Pensyarah Komunikasi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *