2 wanita, budak 3 tahun maut nahas di Rompin

KUANTAN -Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala empat lagi cedera selepas sebuah kereta dan pacuan empat roda bertembung di KM142 Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Bukit Serok, Bandar Tun Abdul Razak, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima laporan pada 4.46 petang Ahad.

Menurutnya, kereta dinaiki seorang lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan ke Muadzam Shah, Rompin.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit bertembung pacuan empat roda dipandu seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Akibat kemalangan itu, seorang wanita tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala enam mangsa termasuk pemandu pacuan empat roda yang cedera dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut.

Jurucakap itu berkata, dua mangsa membabitkan seorang wanita berusia 18 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan.

Ketua Polis Rompin, Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan kejadian itu, namun identiti semua mangsa belum diperolehi.

“Polis berada di lokasi kejadian dan sedang menyiasat punca kemalangan. Hubungan semua mangsa juga belum dapat disahkan.”

Mayat kini ditempatkan di Hospital Muadzam Shah dan akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *