Kes Zara Qairina: Wajar Inkues atau tidak? – CLJ

Bahagian 2:

Oleh: Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

INKUES (siasatan koroner) adalah prosiding kehakiman yang dijalankan oleh Majistret Koroner untuk menentukan punca atau sebab kematian seseorang. Tujuan utama inkues ialah untuk memastikan ketelusan apabila punca kematian tidak jelas, meragukan atau mencurigakan, terutama apabila tiada siasatan jenayah yang konkrit dijalankan oleh pihak berkuasa.

Namun, inkues tidak boleh menggantikan siasatan jenayah oleh polis dan tidak boleh secara undang-undang menamakan pihak yang bersalah. Prosiding Inkues dibuat menurut Bahagian VIII Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) (KPJ) di bawah kuasa untuk membuat “Siasatan Kematian”.

Seksyen 334 KPJ menetapkan kuasa dan kewajipan koroner untuk menjalankan siasatan terhadap kematian mendadak atau luar biasa. Koroner hanya perlu membuat penemuan tentang identiti si mati, bila, di mana dan bagaimana kematian berlaku serta sama ada terdapat mana-mana orang yang terlibat secara jenayah dalam punca kematian tersebut seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 337 KPJ.

Namun, koroner tidak boleh menamakan atau mendakwa pihak yang bertanggungjawab.

Pihak Peguam Negara (AGC) juga mempunyai kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 339(1) KPJ untuk mengarahkan sesuatu inkues dijalankan.

Pada penghujung sesuatu prosiding inkues, koroner dikehendaki membuat satu daripada tiga bentuk keputusan, iaitu (i) sama ada memberikan keputusan terbuka (open verdict) apabila punca kematian tidak dapat dipastikan, (ii) memutuskan bahawa kematian berlaku akibat kemalangan (misadventure), ataupun (iii) menetapkan bahawa kematian tersebut disebabkan oleh perbuatan seseorang, sama ada individu yang dikenal pasti ataupun yang tidak diketahui.

Pada bahagian 2 ini, kami akan menghuraikan secara ringkas melalui perbandingan kes-kes inkues yang diputuskan oleh Mahkamah Koroner sebelum ini untuk melihat kewajaran prosiding inkues ke atas kes kematian arwah adik Zara Qairina ini.

Kes-kes tersebut adalah seperti berikut:

a) Kes Teoh Beng Hock (2011)

Teoh Beng Hock ditemui mati selepas disiasat oleh SPRM. Inkues dijalankan kerana punca kematian tidak jelas (fall from height). Koroner pada awalnya kata kematian tidak dapat dipastikan (open verdict). Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya telah membatalkan penemuan open verdict tersebut kerana Hakim Koroner tersebut telah menggunakan standard pembuktian yang tinggi iaitu beyond reasonable doubt (kes ini telah dilaporkan dalam Teoh Meng Kee v Public Prosecutor [2014] 5 MLJ 741).

Prinsip: inkues sesuai hanya bila punca kematian tidak jelas. Namun, ia tidak boleh menggantikan siasatan jenayah polis.

b) Kes A. Kugan (2009)

Kugan mati dalam tahanan polis di Subang Jaya. Inkues diadakan kerana terdapat percanggahan laporan post-mortem (polis kata paru-paru berair, tetapi keluarga kata terdapat kesan pukul). Akhirnya, koroner sahkan kematian akibat penderaan (homicide).

Laporan autopsi pertama didapati tidak konsisten dengan kesan penderaan pada badan si mati telah menyebabkan ahli patologi tersebut di dapati bersalah atas salahlaku profesional oleh Penasihat Perubatan Malaysia [Rujuk: N Indra a/p Nallathamby (administratrix of the estate and dependant of Kugan a/l Ananthan, deceased) v Datuk Seri Khalid bin Abu Bakar & Ors, [2014] 8 MLJ 625].

Prinsip: Inkues digunakan apabila ada percanggahan bukti forensik.

c) Kes Adib Mohd Kassim (2018)

Anggota bomba meninggal dunia ketika rusuhan di Kuil Seafield. Inkues dijalankan untuk tentukan sama ada Adib dipukul atau cedera akibat kemalangan kenderaan.

Koroner akhirnya dapati Adib dipukul oleh pihak ketiga. Kematian Adib adalah disebabkan unsur-unsur jenayah.

Prinsip: Inkues digunakan kerana terdapat pertikaian antara dua teori kematian.

d) Kes Nhaveen (2017)

Remaja mati akibat dibuli dan dipukul. Tiada Inkues kerana kes jelas melibatkan jenayah. Polis terus dakwa pelaku.

Prinsip: Bila elemen jenayah jelas, siasatan polis diteruskan sehingga ke peringkat pendakwaan. Inkues tidak perlu. Kesemua tertuduh (dua daripada mereka berumur bawah 18 tahun ketika insiden) telah diarahkan membela diri oleh Mahkamah Persekutuan.

e) Kes Mohamad Nazmie Aizat (Lahad Datu, 2024)

Kes ini juga langsung tidak melalui inkues, sebaliknya dibicarakan di mahkamah jenayah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana unsur jenayah adalah jelas.

Jadi, tiada rekod rasmi inkues terhadap kes tersebut, dan ia diproses sepenuhnya sebagai prosiding bunuh. Kesemua tertuduh berumur bawah 18 tahun.

Justeru, menggunapakai prinsip perundangan yang dibangunkan dalam kes-kes Inkues yang kami sebutkan tadi dan ketiadaan inkues dalam kes jelas unsur jenayahnya seperti yang berlaku dalam kes kematian Nhaveen dan Mohamad Nazmie, kami berpendapat bahawa tiada keperluan inkues untuk kes Zara Qairina ini kerana unsur jenayah sudah jelas nyata iaitu melibatkan dakwaan penderaan, pengabaian dan buli sehingga berlakunya kematian adik Zara Qairina itu.

Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302/304 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 326 KK (mendatangkan kecederaan parah) dan Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Kegagalan pihak polis untuk meneruskan atau melengkapkan siasatan merupakan satu perlanggaran kewajipan polis di bawah Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Sebarang penangguhan yang tidak perlu dalam melengkapkan siasatan jenayah juga merupakan satu kegagalan pihak polis mematuhi peruntukan Seksyen 120(2) KPJ yang mewajarkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rujuk: Re Teoh Beng Hock, [2010] 1 MLJ 715).

Inkues yang dijalankan hanya mengulangi proses siasatan yang sepatutnya dijalankan oleh pihak polis yang boleh mengakibatkan risiko delay of justice.

Malah terdapat risiko lebih besar sekiranya inkues dijalankan iaitu risiko percanggahan proses kerana inkues boleh menghasilkan dapatan yang berbeza dengan siasatan polis, menyebabkan kekeliruan awam seperti dalam kes Teoh Beng Hock.

Secara kesimpulannya, Inkues sesuai dalam kes yang tidak jelas atau ada percanggahan bukti (contoh: Teoh Beng Hock, Adib, Kugan), manakala bagi kes yang jelas berunsur jenayah (contoh: Nhaveen, Mohamad Nazmie dan kini kes Zara Qairina), maka proses inkues tidak diperlukan.

Justeru, polis wajib jalankan siasatan penuh, bukan menyerahkan tugas mereka itu kepada koroner pula. “Keadilan untuk Zara Qairina adalah keadilan untuk semua kanak-kanak Malaysia”. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *