PUTRAJAYA – Hari ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat.
Bacaan kedua dan ketiga dijadualkan pada 27 Ogos ini, sekali gus menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.
Namun, Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya tidak bersetuju, malah mahu pembentangan RUU itu ditangguhkan, sehingga libat urus secara inklusif dijalankan.
Katanya, jika tiada libat urus itu, dikhuatiri RUU berkenaan akan memberikan implikasi sosial, ekonomi dan hak pemilikan pada masa akan datang.
“RUU ini menimbulkan kebimbangan besar kerana kurang libat urus awam seperti rakyat dan persatuan penduduk tidak diberi ruang mencukupi untuk bersuara.
“Manakala hak pemilik asal tidak terjamin seperti tiada kepastian mengenai pampasan adil dan penempatan semula.
“RUU ini juga memberi kesan risiko peminggiran, iaitu pembangunan mewah berpotensi mengusir penduduk B40 dan menghakis hak pemilikan Bumiputera di bandar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurutnya, beliau mengambil maklum jaminan Kor Ming bahawa RUU itu tidak akan menindas mana-mana kaum, namun jaminan lisan sahaja tidak memadai, sebaliknya perlindungan undang-undang yang jelas mesti digariskan.
Sehubungan, beliau menuntut agar pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga libat urus secara inklusif dijalankan.
“Wujudkan jawatankuasa bebas yang melibatkan NGO dan pakar undang-undang serta yang utama sekali, pastikan pemilik asal mendapat unit baharu dengan nilai setara tanpa beban tambahan.
“Selain itu, kekalkan kuota Bumiputera dan lindungi kawasan warisan seperti Kampung Baru.
“Pembangunan semula bandar tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan hak rakyat, dan RUU ini mesti disemak semula agar benar-benar membawa manfaat tanpa menindas masyarakat bawahan,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001