PROVIDENCE, Rhode Island – Dunia perundangan antarabangsa kehilangan seorang tokoh dihormati apabila Hakim Frank Caprio, yang terkenal dengan gelaran “Hakim Paling Baik di Dunia”, meninggal dunia pada Selasa di kediamannya di Providence pada usia 88 tahun.
Caprio, bekas Ketua Hakim Mahkamah Bandaraya Providence, menghembuskan nafas terakhir selepas berjuang melawan kanser pankreas sejak 2023.
Keluarga beliau mengesahkan pemergian itu dalam satu kenyataan rasmi, menyifatkan beliau sebagai insan penuh kasih sayang yang sentiasa percaya kepada kebaikan manusia.
Dilahirkan pada 24 November 1936 di Providence, Caprio berasal daripada keluarga imigran Itali.
Beliau berkhidmat dalam Majlis Bandaraya Providence dari 1962 hingga 1968 sebelum dilantik sebagai hakim pada 1985 dan bersara 2023 selepas hampir empat dekad mengemudi mahkamah.
Nama beliau menjadi fenomena global melalui rancangan televisyen “Caught in Providence”, yang menyiarkan prosiding kes trafik dan saman kecil.
Keputusan Caprio yang penuh empati, termasuk membebaskan pesalah kerana faktor kemanusiaan, menjadikannya ikon di media sosial dengan jutaan tontonan di seluruh dunia.
Selain karier kehakiman, Caprio turut aktif dalam kerja kebajikan, khusus dalam bidang pendidikan dan bantuan masyarakat.
Pada Februari lalu, beliau menerbitkan memoir berjudul “Compassion in the Court” yang menghimpunkan kisah-kisah inspirasi sepanjang perkhidmatannya.
Gabenor Rhode Island, dalam satu kenyataan, mengarahkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan terakhir kepada beliau.
Frank Caprio meninggalkan seorang isteri, Joyce, lima anak, tujuh cucu dan dua cicit.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001