WASHINGTON – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat sedang menjalankan siasatan berhubung insiden sebahagian sayap pesawat Boeing 737 milik Delta Air Lines tertanggal sebelum mendarat di Texas, Selasa lalu.
Insiden penerbangan Delta 1893 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom itu disedari penumpang yang melihat sebahagian sayap di bahagian belakang pesawat itu tertanggal.
“Kami sangka ia hanya gegaran akibat cuaca buruk. Pesawat bergegar kuat.
“Wanita di hadapan kami membuka penutup tingkap pesawat dan memberitahu sayap itu rosak. Saya turut membukanya dan terus rasa takut,” kata seorang penumpang, Shanila Arif, kepada CNN.
Wanita itu turut menunjukkan serpihan ‘flap’ iaitu bahagian boleh laras di belakang sayap pesawat berkenaan yang terkulai ketika kapal terbang itu sedang terbang pada kelajuan beribu-ribu kaki tinggi dari aras laut.
Arif berkata, beliau bimbang jika bahagian ‘flap’ yang rosak itu tertanggal sepenuhnya dan terkena ekor pesawat dan menyebabkan nahas berlaku.
Selepas mendarat, Delta Air Lines dalam kenyataannya memaklumkan ‘bahagian ‘flap’ pada sayap kiri pesawat didapati tidak berada di tempatnya’.
Susulan itu, pesawat berkenaan digantung sementara daripada perkhidmatan bagi kerja penyelenggaraan.
‘Flap’ adalah komponen pada bahagian belakang sayap yang direka untuk membantu kawalan ketika berlepas dan pendaratan.
Syarikat penerbangan itu turut mengeluarkan permohonan maaf susulan insiden terbabit.
“Kami memohon maaf kepada penumpang atas insiden terbabit. Keselamatan kru dan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan utama kami,” kata syarikat penerbangan itu.
Dalam kejadian itu, 62 penumpang dan enam kru terselamat dengan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak syarikat penerbangan itu turut berjanji memberi kerjasama penuh bagi siasatan yang dijalankan FAA.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001