MCA Jangan Politikkan Larangan Penjualan Arak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)

Penjenamaan Tabung Haji: Menangkis Hujah Dangkal Ahli Parlimen Pengkalan Chepa

SHAH ALAM – Tabung Haji (TH) telah melalui pelbagai fasa penjenamaan untuk kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan asalnya, iaitu menguruskan bakal jemaah haji dan membantu mereka dari sudut kos, keperluan pengangkutan, logistik serta kebajikan.

Tabung Haji juga adalah entiti yang terlibat dengan hubungan pelbagai pihak dalam melaksanakan tujuan ia diasaskan, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah menjelaskan, dalam hal ini, TH berada dalam premis muamalat dari sudut fiqahnya, termasuk membuat keputusan perniagaan yang tertakluk kepada ‘due diligence’ yang ditetapkan oleh Tabung Haji.

Katanya, premis Muamalat bersandarkan kepada kaedah yang bermaksud, asas kepada muamalat adalah diharuskan segalanya sehinggalah ada dalil yang menunjukkan pengharamannya”.

“Skop muamalat lebih luas di atas premis ini kerana untuk mencapai maslahah lebih baik, ruang terbuka luas dan tidak disempitkan.

“Namun demikian, panduan umum yang boleh dianggap boleh jatuh hukum haram mengambil bukan Islam dalam khidmat kepakaran mereka ialah apabila nasihat mereka membawa kepada fasad dan menghina simbol Islam dan merosakkan nama Islam.

“Sebaliknya, selagi membawa maslahah dan mencapai kehendak syarikat Islam itu, maka ianya diharuskan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, khidmat penjenamaan semula tidak akan ditentukan oleh syarikat bukan Islam, tetapi ditetapkan kehendaknya oleh keputusan Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan Tabung Haji yang terdiri daripada orang Islam yang layak dan dipercayai.

Dr. Mujahid menjelaskan, bagi mendapat khidmat syarikat milik orang Islam, jika tidak menepati kehendak syarikat untuk mencapai maslahatnya, maka mengambil syarikat bukan Muslim adalah dibolehkan.

Justeru, katanya, soalan yang lebih penting, apakah salah TH mengambil khidmat bukan Islam yang ada kepakaran dalam bidang re-branding atau penjenamaan semula?

“Siapa YB Pengkalan Chepa yang boleh menentukan sesuatu hukum syarak yang jelas panduannya. Lagi pun, yang menentukan hala-tuju TH adalah Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang bertungkus-lumus mengekalkan TH sebagai terbaik bertaraf dunia dalam kebajikan dan pengurusan haji.

“Melainkan motif pertikaian YB Pengkalan Chepa membawa isu syarikat bukan Islam ini dengan menyebut maklumat lengkap syarikat hanyalah sentimen yang sengaja dicetuskan untuk umat Islam marah tanpa sebab, sekali gus memburukkan kerajaan Madani hari ini.

“Saya bersimpati kepada umat Islam yang termakan dengan hujah tidak berpandukan dalil syarak dan lebih buruk ia menjejaskan keputusan strategik TH untuk kekal relevan dalam persaingan dan mengendalikan isu kos haji yang meningkat pasca COVID,” katanya.

Menurutnya lagi, matlamat penjenamaan semula bertujuan supaya pendeposit meningkatkan tabungan mereka kerana 53 peratus dari pendeposit hanya memiliki tabungan RM1,300 yang tidak melayakkan mereka melakukan haji walaupun giliran telah tiba.

“Sedangkan, kos haji sepenuhnya mencecah lebih RM30,000 dan dengan bantuan haji, mereka yang layak dikenakan kos minimum RM15,000.

“Pastinya tujuan TH adalah untuk melayakkan penabung melakukan ibadat haji bila tiba gilirannya. Inilah maslahah besar yang tidak difahami oleh YB Pengkalan Chepa.

“Kembalilah kepada panduan syariat kita yang menetapkan panduan hukum untuk kita kekal relevan sepanjang zaman demi kemaslahatan umat Islam jua,” katanya.

Kata Dr. Mujahid lagi, retorik sentimen hanya membawa umat Islam ke belakang dan mengheret umat Islam awam yang tidak tahu hujung pangkal menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, banyak lagi entiti syarikat Islam yang terdedah kepada persoalan seperti ini, bukan TH sahaja.

“Saya menyeru Ashabul Fadhilah para mufti yang saya yakin telah pun ada kajian mereka dalam hukum muamalat yang sangat jelas ini supaya bersuara atau membuat ketetapan semula tentang masalah “mengambil kepakaran bukan Islam dalam syarikat berentiti Islam” supaya kita hentikan terus perdebatan tidak produktif yang hanya merugikan umat Islam,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *