Apa sebenarnya berlaku kes Allahyarham Wan Ahmad Faris?

Dari Meja Editor

TIBA-TIBA muncul kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di tandas asrama sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, dekat Kota Bharu.

Kes ini berlaku pada 14 Disember 2013, iaitu kira-kira 12 tahun lalu, apabila sekujur tubuh kaku pelajar tingkatan empat berumur 16 tahun itu ditemui berbau oleh penyelia asrama.

Siasatan awal polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut, iaitu tiada unsur jenayah.

Namun, pada Jun 2016, selepas tiga tahun kematiannya, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan kematian itu adalah dari perbuatan bunuh oleh individu yang identitinya tidak dikenal pasti, sekali gus menolak kemungkinan adik Wan Ahmad Faris bunuh diri.

Sejak keputusan inkues itu, keluarga arwah terus mendesak pihak berkuasa membuka semula kes berkenaan.

Mereka melakukan pelbagai usaha termasuk menghantar surat rayuan kepada Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri.

Pada 31 Julai 2024, setahun yang lalu, polis menghantar surat rasmi memberitahu keluarga bahawa kes telah diklasifikasikan sebagai “No Further Action” (NFA) sejak 7 September 2020, atas alasan kekurangan bukti dan tiada saksi yang dapat mengenal pasti suspek.

Berikutan itu, keluarga berhasrat memfailkan saman terhadap beberapa pihak bagi menuntut keadilan, dengan mencadangkan mahkamah mengarahkan siasatan semula dan menuntut ganti rugi atas kecuaian penyiasatan terdahulu.

Saman dirancang difailkan sebelum penghujung Mei lalu.

Kerajaan Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) menegaskan tidak akan mempertahankan pelaku dan terbuka sepenuhnya untuk kerjasama dengan pihak berkuasa bagi proses siasatan serta pendakwaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menyatakan sokongan kepada usaha keluarga untuk membuka semula siasatan dan menegaskan pentingnya keadilan jika wujud bukti baru.

Beberapa aktivis juga tampil menyokong keluarga dengan menyeru masyarakat mendoakan supaya keadilan ditegakkan serta menyerlahkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan dalam penyiasatan awal.

Namun begitu, kes ini belum menemui penyelesaian sebenar sehingga keluarga arwah bertekad memburu keadilan melalui tindakan undang-undang dan rayuan kepada pihak berkuasa.

Walaupun kerajaan negeri menyatakan sokongan dan tidak mempertahankan pelaku, kebenaran mengenai identiti pembunuh belum terjawab sehingga hari ini.

Namun, malam tadi ratusan rakyat Kelantan keluar berhimpun di Dataran Warisan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV untuk bersolidariti “Justice for Faris”.

Himpunan itu menuntut komitmen penuh pihak berwajib supaya membuka semula siasatan jenayah terhadap kes berkenaan.

Wakil peguam keluarga, Alias Ibrahim dilaporkan berkata, beberapa keterangan penting dirumuskan pada prosiding inkues sembilan tahun lalu sepatutnya mencukupi untuk siasatan jenayah dimulakan.

“Terdapat beberapa bukti penting seperti nama suspek, laporan polis serta penemuan sampel DNA pada kain pelikat yang dijumpai bersama mangsa, juga sepasang selipar di lokasi mayat Allahyarham dijumpai,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *