Tiada siapa kebal, jika ada wakil rakyat terlibat, sumbat mereka ke penjara

PERTAMA sekali, saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor kerana akhirnya tampil bersuara berkenaan kes tragis adik Zara Qairina Mahathir.

Walaupun sudah hampir 22 hari berlalu, kami tetap menghargai suara itu, kerana lebih baik lambat daripada langsung tidak ada.

Namun begitu, realitinya di lapangan rakyat kecewa. Bukan kerana ingin menghukum sesiapa, tetapi kerana mereka mengharapkan ketegasan, ketelusan dan kecekapan yang lebih baik dalam menyiasat kes ini.

Apabila kita bercakap tentang nyawa seorang anak kecil yang tidak berdosa, kita tidak boleh bergerak perlahan.

Kita tidak boleh bermain selamat dan kita tidak boleh berdiam diri apabila ada persoalan besar yang belum terjawab.

Kami tidak mahu membuat tuduhan, tetapi jika terbukti ada unsur kecuaian, kelalaian atau cubaan melindungi mana-mana pihak dalam siasatan ini, maka tindakan mesti diambil.

Dan jika yang terlibat itu adalah pegawai tinggi, orang berkedudukan atau mana-mana YB sekalipun, maka undang-undang mesti berjalan seperti biasa.

Tiada siapa yang kebal, jika benar ada wakil rakyat yang terlibat, sumbat mereka ke penjara.

Jawatan bukan tiket untuk lolos dari keadilan. Malah, semakin tinggi jawatan, semakin besar tanggungjawab mereka kepada rakyat.

Kami tidak mahu keadilan ini dilengahkan. Kami tidak mahu rakyat terus hilang kepercayaan.

Kami mohon kepada YAB Ketua Menteri bertindak dengan tegas.

Suarakan dengan lantang dan pastikan sistem ini tidak tunduk kepada tekanan politik, pengaruh dalaman atau kepentingan peribadi.

Rakyat sedang memerhati, bukan untuk menghukum tanpa bukti. Tetapi untuk memastikan kebenaran dan keadilan benar-benar ditegakkan.

Keadilan untuk Zara Qairina adalah tanggungjawab kita bersama.

#JusticeForZaraQairina #KeadilanUntukZara #KamiTidakDiam #TiadaSiapaKebal #RakyatSedangMemerhati #UndangUndangUntukSemua #BangkitUntukZara

Pendapat dari rakyat Sabah, Firdaus Kapin

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *