KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia menegaskan, pemasangan Jalur Gemilang terbalik bukan isu remeh atau sekadar kesilapan teknikal yang boleh disapu ke bawah karpet.
Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, ini adalah isu melibatkan kedaulatan dan maruah negara kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik bukan sahaja memalukan, malah mencerminkan kejahilan terhadap simbol negara yang sepatutnya menjadi kebanggaan setiap warganegara.
Tegas beliau, Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan budaya, tetapi jangan lupa, tanah ini asalnya bernama Tanah Melayu serta Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan penyatuan negara sejak merdeka.
“Setelah lebih enam dekad negara ini merdeka, masih ada yang tidak tahu jumlah jalur, bilangan bintang dan kedudukan bulan sabit pada bendera kebangsaan.
“Ini adalah satu penghinaan kepada negara, lebih lagi jika datang daripada individu yang mengaku lahir dan membesar di bumi Malaysia.
“Wira Perkasa Malaysia menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap insiden seperti ini. Sudah tiba masanya kita tidak lagi bertolak ansur terhadap sikap acuh tak acuh dan kejahilan terhadap simbol negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda DAP yang cuba meremehkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik dengan alasan “tiada manusia yang sempurna”.
Ujarnya, jika ada rakyat yang gagal memahami asas perlembagaan, sejarah, dan lambang negara, maka wajarlah dipertimbangkan penarikan hak kewarganegaraan mereka.
Kerakyatan katanya, bukan hadiah percuma, sebaliknya datang dengan tanggungjawab dan penghormatan kepada negara.
“Cukup-cukuplah memberi alasan. Ini bukan sekadar isu bendera terbalik. Ini adalah soal jati diri dan kesetiaan kepada negara,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001