GEORGE TOWN – Seorang lelaki gagal melarikan diri selepas berpatah balik untuk mengambil barang tertinggal dalam rumah yang dipecah masuk apabila ditahan oleh penghuni kediaman berkenaan dalam kejadian di Batu Maung di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah.
“Suspek telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pengadu (pemilik rumah), tetapi berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di rumah berkenaan.
“Pengadu dan rakannya berjaya menangkap suspek dan kemudian menyerahkannya kepada pasukan peronda polis (MPV) yang bertugas di Zon 3 Batu Maung,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamina dan benzodiazepina serta mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman berdurasi 25 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek sedang menuruni tangga dan perakam dipercayai pemilik rumah menyoal tindakan individu terbabit memasuki kediamannya.
Polis mengesan video itu pada jam 4 petang semalam yang dimuat naik di satu akaun Facebook.
Sementara itu, pemuda terbabit direman selama empat hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret Balik Pulau, kira-kira jam 9.30 pagi tadi. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001