PWPPRCSWKM pecat dua Ahli Kehormat terlibat dalam penipuan

MACHANG – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) membatalkan keahlian dua Ahli Kehormatnya berkuat kuasa serta merta kerana dikatakan terlibat dalam kes penipuan sehingga pertubuhan itu mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit.

Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin berkata, dua bekas Ahli Kehormat PWPPRCSWKM yang dikenakan tindakan itu ialah seorang lelaki mualaf bersama seorang lagi kawannya.

Katanya, keputusan itu dicapai sebulat suara oleh Ahli Lembaga Adatnya selepas mendapati dengan bukti lengkap, seorang daripada dua suspek itu telah memperdayakan PWPPRCSWKM dengan dana pelaburan yang tidak wujud.

“Sebaliknya, mereka menggunakan sumber kewangan, aset dan harta milik PWPPRCSWKM dan ahli pertubuhannya untuk proses kemasukan dana dari luar ke negara ini yang dikatakan perlu melalui beberapa bank melibatkan Bank of China (BOC), Bank Negara China dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Selepas setahun, dari Ogos tahun lalu hingga Ogos ini, dana yang dikatakan sudah mendapat kelulusan BNM itu tidak dimasukkan ke akaun peguam PWPPRCSWKM sebagaimana mengikut perjanjian.

“Apabila ditanya, individu itu memberi pelbagai alasan, termasuk katanya, dana itu hendak digunakan untuk membeli anak syarikat kerajaan negeri dan projek terbengkalai untuk dimaju niagakan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurut Fadzillah, lelaki mualaf itu memohon menjadi Ahli Kehormat PWPPRCSWKM melalui rakannya, selepas mendapat tahu pertubuhan ini dalam perancangan menerbitkan filem mengenai leluhur Cik Siti Wan Kembang.

Katanya, untuk menghasilkan filem epik purba itu, PWPPRCSWKM telah memilih seorang pengarah terkenal, dan hasil perbincangan mendapati kos bagi menyiapkannya memerlukan jumlah yang agak besar.

“Bagi memastikan perancangan ini menjadi kenyataan, kami di PWPPRCSWKM berusaha mencari dana sama ada secara pinjaman mahupun kongsi keuntungan jualan filem.

“Perkara ini sampai ke pengetahuan mualaf berkenaan melalui rakannya itu, yang kemudian memperkenalkan kepada PWPPRCSWKM dan mendaftar sebagai Ahli Kehormat, walaupun yuran pendaftaran belum dibayarnya.

“Lelaki mualaf ini memaklumkan, dia boleh membantu PWPPRCSWKM untuk mendapatkan dana kerana mendakwa beliau mengenali ahli korporat di China dan akan berusaha mendapatkan dana daripadanya,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh setahun itu, lelaki mualaf terbabit telah membuat beberapa tuntutan palsu kepada PWPPRCSWKM yang keseluruhannya berjumlah RM697,678.60, termasuk kos khidmat peguam bagi urusan kemasukan dana.

Katanya, proses penggunaan wang ini bermula pada Oktober 2024 hingga Mei 2025, dan tuntutan seterusnya tidak dilayan kerana PWPPRCSWKM mengesyaki telah dipermainkan.

“Kami berdepan dengan penipu yang hadir secara fizikal, bukan melalui panggilan telefon atau perantara. Lelaki ini beberapa kali berulang alik dari rumahnya di Kuala Lumpur ke pejabat PWPPRCSWKM di Labok, Machang.

“Kami, AJK PWPPRCSWKM bertemu mata dan bersua muka dengannya dalam mesyuarat dan perjumpaan dengan pihak tertentu untuk berbincang proses mengambil alih beberapa syarikat.

“Bukan PWPPRCSWKM saja diperdaya. Anak-anak syarikat kerajaan negeri juga percaya dengan keterampilan lelaki ini sehingga mengadakan majlis rasmi menandatangani perjanjian (MoU) dengannya,” katanya.

Menyedari diperdaya, kata Fadzillah, beliau bersama Bendahari PWPPRCSWKM, Noatiqi Rasidi membuat laporan di Balai Polis Daerah Machang pada 10 Julai lalu.

Jelas beliau, tujuan laporan itu dibuat bagi memudahkan urusan tindakan undang-undang diambil ke atas lelaki mualaf berkenaan, termasuk sebagai makluman kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan lelaki terbabit sekiranya berurusan menggunakan nama PWPPRCSWKM.

“Kami juga menghantar notis kepada lelaki terbabit dan kawannya agar menyerahkan kembali barangan PWPPRCSWKM yang diberikan kepada mereka sepanjang bergelar Ahli Kehormat, termasuk pakaian korporat.

“Dengan menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Kehormat yang sah sebelum ini, beliau telah menarik ramai ahli baharu dengan keseluruhan yuran pendaftaran yang tidak dipulangkan kepada pertubuhan ini lebih RM10,000.

“Oleh itu, kepada sesiapa yang berurusan dengan dua individu ini, yang menggunakan nama PWPPRCSWKM, segera merujuk kepada pertubuhan ini atau membuat laporan polis di balai berdekatan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *