KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal dan kecewa dengan insiden pemasangan bendera Malaysia secara terbalik oleh pihak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson.
Perbuatan itu, kata Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris, tidak boleh dianggap remeh kerana Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan negara.
“Perkasa menegaskan, insiden seperti ini sama ada berlaku kerana kecuaian atau disengajakan tetap mencerminkan kelalaian dalam menghormati simbol negara.
“Malah, ianya turut mencetuskan kemarahan rakyat yang kecewa dengan apa yang berlaku hari ini, khususnya dalam kalangan mereka yang cintakan negara serta menjunjung tinggi makna merdeka dan patriotisma,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Tegasnya, Perkasa menyanggah kenyataan media Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mendakwa ada pihak pihak yang cuba mempolitikkan isu itu.
“Kita tidak berpolitik, tetapi atas kesedaran sebagai rakyat Malaysia yang marah dengan insiden berulang kali terjadi seperti ini.
“Oleh itu, Perkasa menggesa pihak berkuasa mengenal pasti adakah perbuatan ini akibat kecuaian atau mempunyai unsur sabotaj kepada negara, dan tindakan tegas harus diambil supaya tidak berulang lagi di masa akan datang.
“Dalam masa sama, pemasangan bendera oleh agensi kerajaan atau pihak sekolah perlu ada satu garis panduan yang betul serta diperiksa sebelum dipamerkan kepada umum,” ujar beliau.
Kata Irwan Fahmi, negara sudah mengecapi kemerdekaan selama 68 tahun, tetapi masih ada lagi anasir yang boleh memecahkan perpaduan di negara ini.
Beliau percaya, penghormatan terhadap Jalur Gemilang adalah cerminan jati diri bangsa dan justeru, semua pihak perlu akur, lebih peka serta bertanggungjawab dalam menjaga imej negara tercinta.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001