Rakyat rindu, tercari-cari siapakah orangnya yang ingin memulakan penyatuan Melayu

Oleh: Zamani Ibrahim

SAYA hadir pada himpunan aman Turun Anwar 26 Julai baru-baru ini dan saya juga diberikan pentas untuk bercakap.

Saya merenung dan bertanya, “ke mana” dan “apa” kehendak rakyat yang puluhan ribu hadir termasuk juga dari parti-parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh nasional dalam himpunan itu?

Ada dua perkara yang saya nampak. Pertamanya, mesej daripada himpunan itu ialah rakyat tertekan. Rakyat ingin menyatakan kepada kerajaan Madani bahawa rakyat sedang tertekan dengan kos sara hidup, dengan perluasan pelaksanaan cukai SST dan penarikan subsidi-subsidi.

Keduanya, saya juga nampak daripada himpunan itu dan gelombang itu, bahawa rakyat inginkan penyatuan orang Melayu.

Rakyat rindu, tercari-cari siapakah orangnya yang ingin memulakan, di mana titik besar untuk memulakan penyatuan orang Melayu sehingga gelombang yang telah dibina pada Sabtu lalu.

Rakyat datang untuk menyatakan bahawa mereka sangat-sangat berkehendakkan kepada penyatuan orang Melayu.

Dua perkara ini perlu kita fahami bersama.

Kemudian, saya juga melihat, apa manfaatnya rakyat hendak kepada penyatuan orang Melayu? Apa manfaatnya? Cukup banyak manfaatnya.

Pertama sekali, orang Melayu, calon-calon Melayu boleh merampas kawasan-kawasan di pinggir bandar yang hari ini sudah banyak tergadai kepada calon-calon bukan Melayu.

Kedua, kita boleh menghalang agenda DAP dan paling terdekat telah disebut oleh DAP bahawasanya persempadanan semula perlu disegerakan. Ini menunjukkan DAP ada agenda yang ingin direbutnya.

Apa iktiar kita, apa usaha kita, sebab DAP berada dalam kerajaan hari ini.

Jadi, penyatuan Melayu itu boleh menghalang agenda DAP untuk membawa persempadanan semula pilihan raya.

Ketiganya, dengan payung besar, dengan penyatuan Melayu, orang Melayu boleh menjadi kuasa dominan di negara dia sendiri, boleh menjadi kuasa dominan di tanah airnya sendiri.

Sebab, ini Tanah Melayu, namanya Malaysia, tuan tanahnya adalah orang Melayu, setiap inci di kampung, di pinggir bandar dan di bandar, siapa tuannya? Tuannya adalah orang Melayu. Ini perlu jelas dalam kepala kita.

Manfaat keempat, kalau wujud payung besar, wujudnya penyatuan Melayu ini, negara akan stabil.

Kenapa? Sebab, mana-mana negara, apabila bangsa majoriti mentadbir, negara itu akan aman damai dan mampu memacu kemajuan ke hadapan.

Tetapi apabila negara itu dipimpin oleh bangsa minoriti, majoriti dipimpin, negara itu tak akan dapat (maju).

Ini antara faedah payung besar yang ingin dinyatakan oleh rakyat dalam menghadirkan diri pada himpunan Turun Anwar baru-baru ini.

Sebagai Presiden Berjasa, ingin menyarankan dengan penuh keinsafan, pertamanya kepada PN, dua parti ini sangat mempunyai kekuatan untuk menggerakkan agenda penyatuan Melayu.

Tak kiralah, penyatuan ummah atau penyatuan tanah air, yang penting kita mesti fokus kepada menyatukan orang Melayu dan bekerjasama dengan parti-parti lain.

Sudah beberapa hari berlalu himpunan Turun Anwar, kita masih bercakap mengenai angka, sampah dan ada yang kata buat apa, tiada manfaat.

Biarkan mereka berkata, kita fokus, selepas berhimpun, saya harapkan dalam seminggu dua ini, kita (Pas dan Bersatu) duduk, panggillah parti-parti politik yang lain, NGO-NGO yang lain, tokoh-tokoh nasional, duduk di meja bulat, kita buat persidangan meja bulat.

Kita bincang dan fikirkan bagaimana kita nak menggunakan kuasa rakyat dalam himpunan Turun Anwar itu sebagai titik tolak menyatukan orang Melayu, kerana itu kehendak besar yang hendak diterjemahkan oleh rakyat dalam perhimpunan baru-baru ini.

Insya-Allah, apabila kita bersatu, kita kuat, kita dominan, orang Melayu yang majoriti pemimpinnya, tanah airnya, maka kita akan pimpin bangsa yang lain, parti-parti lain untuk bekerjasama.

Tetapi, jangan sekali-kali bekerjasama dengan DAP kerana agendanya sangat bercanggah dengan perlembagaan, iaitu konsep Malaysia Malaysiannya. – ND

Penulis, Zamani Ibrahim adalah Presiden Parti Berjasa

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *