KUALA LUMPUR – Betamek Bhd. mencatatkan keuntungan bersih RM5.39 juta pada suku kewangan pertama berakhir 30 Jun 2025 meningkat daripada RM4.88 juta pada suku tahun lalu, yang diterjemahkan kepada pendapatan sesaham 1.2 sen berbanding 1.08 sen sebelumnya.
Pengeluar reka bentuk asal (ODM) melaporkan pendapatan RM56.88 juta, lebih tinggi daripada RM49.97 juta pada suku perbandingan sebelumnya.
Ia berkata, pertumbuhan itu disebabkan oleh jualan aksesori kenderaan yang lebih tinggi dan sumbangan awal daripada instrumen industri dan elektronik pengguna, mencerminkan kejayaan awal daripada strategi kepelbagaian Betamek.
Pada suku tersebut, segmen produk audio dan visual kenderaan kumpulan terus menjadi penyumbang hasil utama, mencakupi RM38.9 juta, atau 68.4 peratus daripada jumlah hasil.
Segmen aksesori kenderaan menyumbang RM11.3 juta, manakala segmen produk bukan automotif menyumbang RM6.6 juta.
Pasaran Malaysia kekal sebagai penyumbang utama kumpulan – menyumbang 97.2 peratus daripada jumlah hasil manakala bakinya diperolehi dari Hong Kong dan Jepun.
Betamek turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham dengan tarikh ex-date pada 6 Ogos 2025, dan pembayaran pada 20 Ogos 2025.
“Kami gembira untuk memulakan tahun kewangan dengan kukuh, didorong oleh kemajuan berterusan dalam strategi kepelbagaian dan penambahbaikan operasi kami, terutamanya di Sanshin Malaysia.
Prestasi ini mencerminkan keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dan berkembang secara mampan walaupun pasaran kembali normal selepas satu tahun rekod,” kata Pengarah Eksekutif Betamek Muhammad Fauzi Abd Ghani di sini hari ini.
Beliau berkata, kumpulan itu tetap memberi tumpuan kepada kepelbagaian pelanggan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk mengurangkan pergantungan kepada pelanggan tunggal dan menangkap peluang pertumbuhan baharu dalam sektor automotif.
“Walaupun pasaran automotif Malaysia dijangka stabil berikutan jumlah volum industri yang tinggi sepanjang masa iaitu 816,747 unit pada 2024, Betamek kekal yakin dengan permintaan kukuh daripada segmen kenderaan mampu milik, diterajui oleh pelanggan utamanya Perodua, yang mengekalkan bahagian pasaran yang dominan dan pesanan tertunggak kukuh sebanyak 90,000 unit,” tambahnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001