Acara kesihatan bukan pesta gay – NGO bidas serbuan polis

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tampil menolak dakwaan polis Kelantan berhubung serbuan ke atas satu program yang dikaitkan dengan individu LGBTQ+ di Kota Bharu, bulan lalu.

Memetik laporan MalaysiaKini, dokumentasi oleh Justice for Sisters (JFS) mengenai acara itu berbeza sama sekali dengan kenyataan polis.

“Bertentangan dengan dakwaan bahawa ia merupakan ‘pesta seks sejenis’, program itu sebenarnya adalah acara kesihatan. Ia menyediakan maklumat kesihatan seksual dan berkaitan HIV, kondom serta ujian secara sukarela untuk menggalakkan amalan seksual yang lebih selamat.

“Acara yang bermula pada jam 8 malam itu melibatkan ceramah kesihatan bersama penyedia perkhidmatan kesihatan termasuk doktor. Ia mula ditamatkan sekitar tengah malam, namun kira-kira 20 peserta masih berada di lokasi untuk menunggu keputusan ujian mereka.

“Dan tiada seorang pun daripada mereka yang menawarkan atau terlibat dalam perkhidmatan seksual semasa acara tersebut. Para peserta hadir untuk mendapatkan maklumat dan menjalani ujian kesihatan seksual,” menurut kenyataan bersama NGO tersebut semalam.

Antara penandatangan kenyataan itu termasuk Suaram, Women’s Aid Organisation (WAO), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Amnesty International Malaysia.

Secara berasingan, Majlis AIDS Malaysia (MAC) mengesahkan satu sesi libat urus lapangan telah dijalankan pada 17 Jun di Kota Bharu di bawah model Perkhidmatan HIV Berbeza untuk Populasi Utama (DHSKP) yang disokong oleh Kementerian Kesihatan.

Menjelaskan ia strategi bersasar dan inklusif, MAC berkata sesi itu melibatkan lebih 70 klien daripada kumpulan berisiko tinggi.

“Program ini dijalankan di luar waktu pejabat untuk membolehkan peserta yang bekerja turut hadir dan menerima manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan.

“DHSKP menekankan penyampaian perkhidmatan yang disesuaikan mengikut keperluan khusus populasi sasar, bebas stigma, dan dilaksanakan melalui kerjasama antara fasiliti kesihatan awam dan organisasi komuniti,” jelas MAC.

MAC turut memaklumkan acara tersebut menyediakan saringan, kaunseling, rawatan, dan sokongan — termasuk akses kepada maklumat mengenai rawatan antiretroviral (ARV) selaras dengan prinsip “Undetectable = Untransmittable” (U=U).

Menurut MAC, sesi tersebut berlanjutan selepas tengah malam kerana ujian HIV dijalankan secara sulit dan profesional, mengambil masa antara 10 hingga 15 minit setiap peserta. Mereka yang menerima keputusan reaktif diberi kaunseling dan dirujuk untuk rawatan susulan.

MAC turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Klinik Kesihatan Kota Jembal dan menegaskan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam inisiatif kesihatan awam.

Dalam masa yang sama, MAC menyeru sokongan lebih luas daripada agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan dan penguatkuasa undang-undang agar pelaksanaan model DHSKP dapat dijalankan dalam persekitaran yang kondusif dan menyokong.

Pada Khamis, Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat berkata operasi dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dikumpul oleh pasukan khas selepas menerima aduan mengenai satu acara bertemakan makanan yang dipercayai dianjurkan khas untuk komuniti gay.

Bagaimanapun, NGO berkenaan mendakwa pegawai yang menyerbu acara itu bertindak atas prasangka bahawa ia adalah “pesta gay”.

Meskipun telah mengetahui perkara sebenar, mereka mendakwa polis tetap menjalankan ujian air kencing ke atas peserta yang masih ada — dan kesemuanya didapati negatif.

“Polis kemudian memeriksa telefon bimbit peserta bagi mencari maklumat mengenai pesta gay yang dimaksudkan. Namun, tiada apa-apa yang ditemui.

“Tiga individu bagaimanapun telah ditahan kerana memiliki kandungan intim, kebanyakannya merupakan kandungan peribadi. Kami menegaskan bahawa ini adalah tuduhan yang direka-reka,” tegas mereka.

Sementara itu, gabungan NGO berkata program itu disasarkan kepada “populasi tersembunyi” termasuk komuniti LGBTQ+ sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan AIDS.

Mereka turut menekankan keperluan untuk menghapuskan penularan AIDS melalui pendekatan menyeluruh oleh pelbagai sektor dan agensi kerajaan.

“Polis turut memainkan peranan penting dalam usaha pengurangan kemudaratan dan menamatkan penularan AIDS, kerana ancaman terhadap pusat kesihatan dan perkhidmatan boleh menjejaskan keberanian orang ramai untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

NGO itu juga berkata polis sebelum ini telah menghentikan amalan menyerbu pusat kesihatan dan acara yang dianjurkan untuk kumpulan minoriti – sehinggalah insiden serbuan kali ini.

“Kami bimbang dengan kemunculan semula trend ini dan mendesak Kementerian Kesihatan untuk menyiasat perkara ini.

“Kami juga menggesa pihak polis untuk segera membetulkan kenyataan tidak tepat yang telah dikeluarkan,” tambah mereka.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *