TOKYO – Seekor beruang coklat ditembak mati awal pagi Jumaat di bandar Fukushima, wilayah Hokkaido di utara Jepun, berhampiran lokasi serangan maut minggu lalu yang meragut nyawa seorang lelaki, lapor Xinhua.
Menurut penyiar awam NHK, polis menerima laporan daripada seorang penduduk Fukushima yang mendakwa melihat seekor beruang di kawasan Tsukisaki sekitar jam 2 pagi waktu tempatan.
Anggota polis dan pemburu bergegas ke lokasi dan menemukan seekor beruang coklat setinggi kira-kira 1.5 meter. Beruang itu dilaporkan ditembak mati oleh pemburu pada kira-kira jam 3.30 pagi.
Di Fukushima, seorang penghantar akhbar berusia 52 tahun diserang dan dibunuh oleh seekor beruang coklat pada awal pagi 12 Julai lalu. Lokasi kejadian itu terletak kira-kira 800 meter dari tempat penemuan beruang yang ditembak pagi ini.
Polis sedang menyiasat sama ada beruang yang ditembak mati itu adalah haiwan sama yang menyerang mangsa, menurut laporan berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan telah mengisytiharkan darurat beruang coklat selama sebulan susulan serangan tersebut, menjadikan ia kali pertama amaran tahap tertinggi dikeluarkan di wilayah utara Hokkaido, dengan polis, bomba dan pemburu menjalankan rondaan 24 jam sehari. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001