Apakah YB Fadhli sengaja kelirukan rakyat atau kurang ilmu pengetahuan am?

Oleh: Mohd Rizduan Ibrahim

APABILA saya membaca penulisan YB Fadhli Shaari berkaitan hasratnya menyampaikan tingkah laku Perdana Menteri tidak menyambung khidmat bekas Ketua Hakim Negara serta cuba bandingkan penyambungan kontrak Ketua Persuruhjaya SPRM dalam media sosial.

Tindakan YB Fadhli Shaari sebegini sama ada beliau dalam sengaja kelirukan rakyat atau beliau kurang ilmu pengetahuan am dalam perkara pelantikan antara jawatan tersebut.

Pelantikan atau penyambungan khidmat Ketua Hakim adalah melalui Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC) yang telah ditubuhkan pada 2009, pada zaman pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak.

Keputusan JAC akan dibawa oleh Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Manakala pelantikan atau penyambungan Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah di bawah kuasa eksekutif Perdana Menteri sendiri.

Yang mana, atas hemah Perdana Menteri untuk menasihati YDPA untuk melantik atau sambungan kontrak penjawatan Ketua SPRM.

Daripada kedua-dua bidang kuasa tersebut sangat jelas, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa langsung dalam perihal pengurusan bidang kuasa kehakiman.

Adakah Ketua Hakim sebelum ini memiliki automatik mendapat penyambungan kontrak?

1. Tun Abdul Hamid Mohamad

Beliau memiliki pengalaman luas selaku Hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau telah dilantik pada 2 November 2007 dan bersara pada 18 Oktober 2008. Setelah umurnya mencapai 66 tahun, tidak diberi lanjutan perkhidmatan.

2. Tun Zaki Azmi

Tun Zaki merupakan seorang tokoh kehakiman, beliau telah melakukan reformasi pentadbiran kehakiman. Beliau telah dilantik selaku Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober 2008 hingga 9 September 2011, dan beliau juga menamatkan perkhidmatan pada umur 66 tahun tanpa diberi sambungan kontrak.

3. Tun Arifin Zakaria

Beliau telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dari 12 September 2011 hingga 31 Mac 2017. Beliau juga bersara pada umur 66 tahun tanpa pelanjutan tempoh perkhidmatan.

4. Tun Md. Raus Sharif

Begitu juga dengan Tun Md. Raus Sharif, telah menjawat jawatan Ketua Hakim Negara sejak 1 April 2017 hingga 10 Julai 2018. Beliau telah bersara setelah mencapai usia 66 tahun dan tanpa perlanjutan tempoh.

Mengapakah persaraan Ketua Hakim Negara zaman Tengku Maimun Tuan Mat tanpa lanjutan perkhidmatan menjadi kecoh?

Mungkinkah YB Fadhli Shaari ataupun rakan-rakan ketandusan isu untuk menarik sokongan rakyat?

Adakah mereka kurang yakin pengantian Ketua Hakim Negara kelak akan menyusahkan mereka yang sedang berdepan dengan kehakiman seperti kes Jana Wibawa dan lain-lain?

Mungkinkah kes-kes politik yang diangkat pada zaman mereka akan gagal?

Jika ada kemungkinan ini, mereka masih kurang faham dengan doktrin pengasingan kuasa yang telah diamalkan negara sejak merdeka.

Mungkin mereka cuba mengandaikan seperti peristiwa yang berlaku dalam kehakiman pada tahun 1988. Peristiwa pemecatan Tun Salleh Abbas selaku Ketua Hakim Negara pada masa itu.

Pada zaman itu, belum wujud JAC seperti ditubuhkan oleh Najib Razak Perdana Menteri keenam. Pada ketika itu, peristiwa pemecatan Tun Salleh Abas tahun 1988, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri keempat pada masa itu.

YB Fadhli Shaari boleh tanya Tun Dr. Mahathir mengenai peristiwa ini. Lagi pun sekarang lebih mudah untuk bertanya terus kerana terlalu Dr. Mahathir dekat dengan kumpulan Perikatan Nasional.

Nasihat saya kepada YB Fadhli Shaari, jika ada niat segaja mengelirukan rakyat dengan perkara begini, cukup-cukuplah bermain dengan politik murahan sebegini.

Negara kita sedang berdepan dengan kesusahan berikutan tingkah laku ahli politik berebut kuasa. Kesan ekonomi kian terkesan disebabkan ketidak stabilan politik yang telah berlaku sejak kejatuhan kerajaan memerdekakan negara.

Sepatutnya YB Fadhli Shaari lebih utama peranan beliau membela kawasan Parlimen Pasir Mas, yang tidak mendapat perhatian. Bukan sekadar ziarah kasih sesama ahli Pas di kawasan, selepas pilihan raya semua pengundi di Pasir Mas adalah rakyat YB, bukan pilih-pilih.

Banyak sangat isu di Pasir Mas yang perlu perhatian daripada YB. Isu banjir, penjaja, Pasar Tasek Raja (walaupun dalam kawasan Rantau Panjang, tetapi ramai peniaga adalah rakyat dari Pasir Mas yang mencari rezeki di situ).

Jangan hanya sekadar nampak kita bekerja di hujung jari dan mulut sahaja YB umpama kita, ‘jari hero di mata luar rumah’, sedangkan anak bini kita di rumah terabai. Begitulah juga dengan YB, menjadi hero dalam nasional, tetapi kawasan YB di Pasir Mas tidak terbela.

Jika YB Fadhli Shaari tiada niat untuk mengelirukan rakyat dengan perihal Ketua Hakim Negara dengan Ketua SPRM, nasihat saya, YB bacalah buku dan buat kajian terlebih dahulu sebelum berbicara sesuatu isu.

Malunya penduduk Pasir Mas termasuk saya, mempunyai seorang YB yang ketandusan ilmu pengetahuan am. Perkara mudah, tetapi dipayahkan demi mencari keuntungan politik. – ND

CgWea Pasir Mas

3 Julai 2025

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *