KUALA LUMPUR – Suspek kes pembunuhan seorang penuntut di sebuah universiti di Cyberjaya dikesan melakukan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad pengeluaran wang automatik ATM milik mangsa selepas wanita itu dibunuh.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan sekitar lima hingga enam transaksi yang dilakukan di sekitar ibu negara.
“Berdasarkan siasatan kita, suspek lelaki terbabit mula melakukan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad perbankan mangsa tidak lama selepas mangsa dibunuh.
“Pada masa ini kita siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti identiti suspek sekaligus mengesan keberadaannya,” katanya kepada BH hari ini.
Norhizam berkata, kad perbankan mangsa adalah antara barang berharga yang dilaporkan hilang dalam kejadian bunuh itu.
“Selain kad ATM, barangan lain yang dilaporkan hilang adalah komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan, beri kami ruang untuk menjalankan siasatan secara lebih lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat termasuk merakam keterangan saksi kejadian.
Mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti di Cyberjaya, ditemui mati sekitar jam 10 pagi kelmarin dalam bilik kediamannya di Mutiara Ville, dengan kesan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.
Pada masa ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001