Pertikai pelantikan Leftenan Jeneral, Pas beri amaran tindakan disiplin

KUALA LUMPUR – Pas memandang serius kontroversi yang melibatkan seorang pemimpin parti itu, susulan satu hantaran di media sosial yang menggambarkan tingkah laku tidak sensitif yang menjejaskan keharmonian negara.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan menegaskan, pandangan yang dikongsi oleh individu berkenaan mengenai Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim yang baru dinaikkan pangkat, adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili parti.

“Pas komited dan menjunjung tinggi prinsip dan realiti kepelbagaian kaum dan kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat kita yang perlu dipupuk dengan sebaik-baiknya.

“Komitmen ini terakam dalam sejarah Pas sejak awal, selain terpancar dalam banyak inisiatif dan aktiviti parti yang tidak pernah kenal lelah,” jelasnya.

Tambah Takiyudin, pelantikan Lim sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pencapaian bersejarah yang wajar diraikan, bukan dipersoal atau diperlekehkan.

“Setiap pencapaian anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama, adalah kejayaan bersama yang perlu dihargai,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Pas tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan atau mencemarkan cita-cita perpaduan nasional.

Pada Selasa, Ketua Pas Sungai Buloh Zaharudin Muhammad membuat catatan di Facebook mempertikaikan pelantikan Lim.

Lim melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam ATM.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *