SIS Forum berjaya cabar fatwa kumpulan hak asasi wanita itu sesat

PUTRAJAYA – SIS Forum (Malaysia) berjaya dalam rayuannya berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan tersebut.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa kepada pertubuhan dan institusi.

Lapor Sinar Harian, dalam keputusan majoriti 3-1, Tengku Maimun berkata, keputusan itu hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan (perintah terperinci adalah sebagaimana dinyatakan dalam alasan penuh penghakiman).

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka bagi membatalkan fatwa berkenaan.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukan merupakan suatu keputusan muktamad, dan oleh itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah sebelum ini merayu ke Mahkamah Rayuan selepas gagal membatalkan fatwa tersebut di Mahkamah Tinggi. Permohonan semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa itu, yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, serta individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa tersebut turut mengarahkan agar mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural diharamkan serta dirampas.

Ia juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menapis laman sesawang sosial yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *