PUTRAJAYA – Tiga Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini, sebulat suara menolak rayuan tuntutan ganti rugi fitnah yang difailkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad ke atas bekas Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan dan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril selepas mendengar rayuan yang dikemukakan Khalid menerusi peguamnya, Hisham Fauzi dan Rusilawati Zakaria.
Abdullah diwakili lima peguam, iaitu Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi, Nik Saiful Adli Burhan, Azwan Mat Hussain, Aimi Shazwani Yaakob dan Nurul Fadhilah.
Dengan keputusan itu Mahkamah Rayuan memerintahkan Khalid yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membayar kos RM15,000 kepada Abdullah.
Selepas mendengar rayuan itu, tiga Hakim sepakat membuat keputusanu ada kelompongan dalam kes plaintif apabila gagal memanggil saksi utama, iaitu pembuat dokumen yang pada asalnya telah disenaraikan sebagai saksi.
Hakim juga memutuskan, kes defendan adalah “no case to answer” kerana kegagalan plaintif tersebut dan perlu membuktikan kes beliau terlebih dahulu untuk berjaya dalam tindakan di mahkamah, tetapi Khalid didapati gagal berbuat demikian.
Pada 30 Mac 2023, Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu menolak tuntutan ganti rugi fitnah yang difailkan Khalid Abdul Samad terhadap Abdullah.
Beliau memfailkan saman itu pada 2020 selepas satu posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook Abdullah mengandungi gambarnya bersebelahan gambar tin arak Carlsberg.
Penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Datuk Abazafree Mohd Abbas itu menolak tuntutan Khalid sebagai plaintif dalam kes itu dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM8,000 terhadap defendan.
Khalid yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Shah Alam pernah dikaitkan dengan Carlsberg itu apabila beliau dikatakan pernah berjanji mahu merobohkan kilang arak itu jika Pas menjadi kerajaan semasa kempen pilihan raya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
