PETALING JAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji dalam negara.
“Lebih menyedihkan apabila pihak yang mengeksploitasi itu dalam kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah baginda dalam hantaran Facebook Selangor Royal Office.
Justeru, Sultan Sharafuddin menitahkan tindakan tegas terhadap individu atau syarikat pelancongan menawarkan pakej haji untuk menipu umat Islam.
Baginda turut mengingatkan umat Islam supaya memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dibuat dengan ejen dan syarikat berlesen serta diiktiraf pihak berkuasa ntuk mengendalikan urusan haji dan umrah.
Pada masa sama, baginda mendoakan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur, sebelum kembali ke tanah air dengan selamat.
“Sempena Aidiladha kali ini, diharapkan sekalian umat Islam mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah dan melaksanakan ibadah korban demi membantu yang miskin serta menginsafi nasib golongan lebih daif.”
Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di seluruh negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001