MELAKA – Seorang wanita yang ditahan polis kerana dipercayai mengugut dan menyebarkan gambar bogel madunya dilepaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita yang bekerja sebagai ejen pelaburan berusia 53 tahun itu dilepaskan selepas tempoh remannya tamat semalam.
“Polis juga sudah selesai merakam keterangan ibu kepada empat anak itu bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya ringkas menerusi WhatsApp.
Media kelmarin melaporkan, suspek direman dua hari mulai kelmarin selepas dipohon pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan.
Suspek sebelum itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam Ahad lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh sepasukan anggota polis sejurus pulang dari bercuti dari luar negara.
Wanita itu diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki bagi siasatan kes berkenaan susulan laporan dibuat madunya yang juga guru di sekolah di Subang Jaya, Selangor berusia 47 tahun.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001