SPRM nafi Azam Baki terlibat dalam penyebaran tomahan babitkan agensi penguat kuasa

Skandal lebuh raya: SPRM sita RM143 juta aset mewah Tan Sri

KUALA LUMPUR – Jumlah sitaan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri bernilai kira-kira RM143 juta, hasil daripada operasi yang dijalankan sejak minggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberitahu, sitaan itu melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta, sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta (13 kereta belum diserahkan kepada pasukan siasatan).

Menurut Azam, turut disita ialah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta, tas tangan (RM3 juta), barang kemas serta berlian (RM6 juta), empat kuda (RM400,000), minuman beralkohol (RM3 juta), aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta ⁠aktiviti perjudian yang dianggarkan RM20 juta.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di antara tahun 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 bilion melibatkan penyelewengan tuntutan palsu yang bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

“Projek lebuh raya bernilai RM1.67 bilion itu juga gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan siasatan juga menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Azam berkata, hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Kata beliau lagi, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak-pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).

“Sehingga kini SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri kerana beliau masih berada di wad di sebuah hospital swasta dan pegawai siasatan akan mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatan Tan Sri sebelum dirakamkan keterangannya.

“Sementara itu, jumlah keterangan saksi sehingga hari ini masih kekal dengan 45 orang dan saksi-saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” kata beliau yang dipetik laporan Astro Awani.

Sementara itu, Azam turut menjelaskan, pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.

Selain itu, beliau turut memberitahu, siasatan kini turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun-akaun lain.

Pada masa sama, tegas Azam, notis perisytiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri tersebut dan pihak yang berkaitan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *