BEIJING – China memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya ‘tidak bermain api’ isu Taiwan, sambil memaklumkan pihaknya telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Washington susulan kenyataan Ketua Pentagon, Pete Hegseth pada satu sidang kemuncak keselamatan di Singapura.
Setiausaha Pertahanan AS itu dalam ucapannya pada forum keselamatan tahunan semalam (Sabtu) memberi amaran China sedang ‘membuat persiapan secara serius’ untuk menggunakan kekuatan ketenteraan bagi mengganggu keseimbangan kuasa di Asia.
Beliau turut menyatakan tentera China sedang mempertingkatkan keupayaan untuk menyerang Taiwan dan ‘sedang menjalani latihan untuk serangan sebenar’.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas tengah malam, Kementerian Luar China menyatakan pihaknya ‘mengemukakan bantahan tegas kepada AS’ berhubung kenyataan Hegseth, sambil menambah mereka ‘amat kesal’ dengan kenyataan itu.
“AS tidak seharusnya menjadikan isu Taiwan sebagai alat tawar-menawar untuk menyekat China dan tidak sepatutnya bermain dengan api,” tegas kementerian itu.
Beijing yang tidak menghantar Menteri Pertahanannya Dong Jun ke sidang kemuncak di Singapura, menyifatkan isu Taiwan sebagai ‘urusan dalaman’ China dan menegaskan negara luar tiada hak campur tangan.
China menganggap Taiwan iaitu sebuah pulau demokrasi yang diperintah sendiri sebagai wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kekerasan bagi mengambil alih pulau itu.
Hegseth turut menuduh Beijing ‘merampas dan menjadikan wilayah secara haram’ di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
China mendakwa hampir keseluruhan perairan itu, meskipun satu keputusan antarabangsa sebelum ini menolak tuntutan terbabit. Pada Ahad, Kementerian Luar China mendakwa ‘tidak pernah wujud sebarang isu’ berkaitan kebebasan pelayaran di perairan berkenaan.
“China komited mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritimnya mengikut lunas undang-undang,” kata jurucakap kementerian itu. Beijing juga menuduh AS menjadikan rantau Indo-Pasifik sebagai ‘powder keg’ dengan menempatkan senjata di Laut China Selatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001