Kisah Kehidupan Yang Selalu Kita Lupakan

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

PAPARAN rencana berita, “Sikulah Rimba Demi Anak Bateq” tersiar dalam Mingguan Malaysia, Ahad, 18 Mei 2025 lalu sudah pasti membekas kepada mereka yang memiliki nurani. Ketika masyarakat kita selalu heboh, riuh rendah dan hiruk pikuk bercakap soal politik 24/7, elok dan harus berhenti sejenak untuk membaca dan merenung kandungan berita tersebut.

Ini kisah sekumpulan anak-anak Orang Asli etnik Bateq yang serba kekurangan tetapi sebenarnya masih bersemangat dan berminat untuk belajar, mengenal huruf, membaca, menulis serta berfikir demi masa depan yang pasti sahaja semakin mencabar.

Melihat paparan berita tersebut, 81 pelajar Orang Asli etnik Bateq yang mengikuti kelas belajar hasil inisiatif sekumpulan sukarelawan tersebut hanya duduk di atas bangku yang sederhana, di bawah bangsal, segala-gala kemudahan amatlah asas sekali. Jangan bercakap kemudahan prasarana canggih seperti di sekolah-sekolah elit, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah antarabangsa.

“Sikulah Rimba” bukan sekolah elit, bukan juga sekolah berprestasi tinggi, tiada jenama, malah terletak jauh di kawasan pedalaman di Kampung Kuala Atok, nun jauh di rimba pedalaman.

Menurut berita, kampung itu terletak sejauh kira-kira 30 minit dari jeti Kampung Kuala Tahan berdekatan pintu masuk Taman Negara, Pahang Darul Makmur.

Kehidupan Orang Asli bukanlah seperti kehidupan orang moden dan elit di bandar-bandar besar, di Kawasan Damansara, Bangsar, Taman Tun Dr Ismail atau di mana-mana tempat yang sudah maju di negara ini. Perbandingan itu hanya akan meletakkan satu jurang lebar dan luas antara yang berada dan tidak berada, antara kaya dan miskin, antara yang mampu dan daif. Kita bercakap padang yang tidak rata.

Kita boleh sahaja membayangkan kehidupan mereka yang serba sederhana, di kelilingi flaura dan fauna, unggas, hidupan liar, sungai serta segala tumbuh-tumbuhan yang tidak mungkin dikenali anak-anak orang bandar.

Hakikatnya, mereka tidak memerlukan gaya hidup mewah, makanan pun ala kadar, barangkali selesa dengan suasana hutan yang nyaman, tenang, tenteram dan sepi. Namun, kita juga menggandaikan mereka kelompok masyarakat terpinggir, tersisih daripada agenda pesat pembangunan negara.

Walhal, mereka Orang Asal di bumi bertuah ini. Berita yang terpapar itu nyata usaha cukup murni, jitu dan kategori amal soleh yang berharga dilakukan sekumpulan sukarelawan berhati cekal yang tidak mengharapkan pulangan kebendaan atau wang ringgit.

Tiada juga sanjungan daripada mana-mana pihak, tiada hadiah pingat atau sijil penghargaan kecuali, sanjungan Ilahi atas usaha ikhlas, cekal, sabar dan tabah.

Bayangkan dalam perjalanan dari jeti Kuala Tahan tersebut, sukarelawan yang mengambil bahagian untuk mengajar anak-anak Orang Asli etnik Bateq itu terpaksa berdepan laluan berliku tiga buah jeram. Pasti sahaja ada perasaan ngeri, takut dan cemas, tetapi demi memandaikan anak bangsa yang terpinggir, ikhtiar itu tetap sahaja dirempuh dan diteruskan.

Seharusnya tidak ada mana-mana kelompok yang tersisih atau ternafikan peluang pendidikan ketika negara sudah memasuki lebih enam dekad kemerdekaan. Kita ghairah bercakap soal pembangunan pesat industri, kemakmuran ekonomi, arus deras globalisasi, rempuhan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), dan agenda Madani – malangnya masih wujud kelompok terpinggir yang memerlukan ihsan dan pengorbanan jitu, perlu sokongan dana dan lebih ramai sukarelawan tampil untuk memastikan yang terpinggir boleh sahaja dibawa bersama menikmati arus perdana pembangunan.

Seperti dilaporkan Tok Batin Kampung Atoq, Husin Dayak berkata: “Jangan salah anggap sikap ibu bapa dan kanak-kanak di sini, bukan kami tidak suka menghantar anak-anak pergi belajar, tetapi kemisikinan, tanpa pekerjaan tetap hanya bersumberkan hasil hutan dan masih berpindah randah penyebab berlaku keciciran pelajaran.”

Bayangkan, isu kemiskinan dan tanpa pekerjaan tetap menjadi penghambat kepada kemajuan anak Orang Asli ini! Tanpa menuding jari ke mana-mana pihak, kita harus membaca laporan berita ini dan membuka cakerawala minda dan nurani – jangan ada yang ternafikan peluang pendidikan hanya kerana kemiskinan atau mereka itu Orang Asli. Kita semua cukup percaya bahawa pendidikan kata kunci terpenting membangun diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Penulis hanya mahu menyebut di sini daripada persepktif kewartawanan, penulisan laporan begini harus dibanyakkan lagi. Biar bergema dan pihak berkuasa serta pemegang taruh sedar bahawa kita mempunyai amanah serta tanggungjawab besar untuk membangunkan potensi manusia menerusi pendidikan.

Tabik buat wartawan yang melaporkan berita ini, tabik juga buat tiga sukarelawan pertubuhan Birds Group Taman Negara (BGTN) dan Nature Lifeguards, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atas inisiatif cemerlang ini. Minda dan nurani orang awam pasti lebih cerah selepas membaca sebuah laporan bernuansa kemanusiaan!

Mohd. Shah Abdullah, bekas wartawan dan pensyarah komunikasi kini berkhidmat sebagai Setiausaha Media dan Komunikasi kepada Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *