Oleh: Mohd. Shah Abdullah
SABAN tahun bila tiba 16 Mei kita meraikan Hari Guru. Hari ini istimewa kerana guru sebagai pendidik bertanggungjawab penuh mengasuh anak bangsa, kenal huruf, tahu baca dan tulis. Hasilnya, anak bangsa tahu berfikir, tahu erti ilmu dan makna kehidupan.
Besar pengaruh guru terhadap anak bangsa tidak ternilai harganya. Bersama ilmu dizahirkan juga adab dan akhlak sebagai buah ilmu. Jika berilmu tetapi tidak beradab itu dikira rosak dan gagalnya proses pendidikan.
Kini dalam era ledakan teknologi digital, dunia pendidikan kian mencabar. Perlahan-lahan kita menyaksikan amalan manual dan konvensional semakin ditinggalkan. Dahulu guru menggunakan papan hijau dan kapur tulis, kemudian papan putih dan pen penanda (marker pen), kini hanya berbekal “laptop”, suasana pendidikan memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya.
Keadaan murid juga sudah berubah. Dengan kadar celik teknologi maklumat (IT) di negara ini yang cukup tinggi, murid-murid sudah terdedah sejak usia dini terhadap IT. Buku teks bukan lagi tarikan utama pelajar!
Sementelahan pendidikan berorientasikan peperiksaan dan pencapaian akademik menjadikan minat membaca buku, karya fiksyen dan bukan fiksyen bukan lagi dalam senarai keutamaan.
Fokus terhadap pendidikan berteraskan sains, teknologi, matematik, kejuruteraan (STEM) sedikit banyak menghakis minat terhadap ilmu-ilmu kemanusiaan, sains sosial, bahasa, kesusasteraan dan falsafah.
Jika keadaan ini tidak dikawal dan diatasi, kesannya dapat dilihat dalam tempoh dua dekad dari sekarang atau kurang daripada itu. Negara akan ketandusan ahli-ahli fikir, ahli bahasa, sasterawan, budayawan, ahli falsafah, dan ahli sains sosial.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Lebih berbahaya berlaku ketempangan dalam sudut akhlak, etika dan adab serta tatasusila masyarakat kita yang selalunya sinonim dengan budi dan nilai-nilai murni.
Demikian tugas guru kian mencabar untuk melahirkan generasi pelajar yang seimbang, berimbang antara penguasaan ilmu, pencapaian akademik dan pegangan akal budi yang mapan. Sudah tentu ini bukan tugas mudah dan enteng.
Apa pun cabarannya, tugas guru tetap mulia, luhur dan penuh tanggungjawab. Kita pun tidak pernah tahu bebanan tugas guru di sekolah, suasana persekitaran di sekolah, sikap dan perangai anak-anak murid, jurang kemahiran serta penguasaan sesama pelajar, kedudukan kewangan sekolah, tuntutan ibu bapa dan persepsi awam melihat fungsi serta pengaruh sekolah.
Yang terpapar setiap tahun, misalnya pencapaian murid yang cemerlang serta sekolah-sekolah yang mencipta prestasi cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jarang fokus diberikan terhadap murid-murid yang terkandas dan gagal. Ke mana mereka? Apa nasib mereka? Hala tuju mereka?
Meskipun demikian, guru-guru tidak pernah berputus asa. Mereka terus mendidik, berbakti mencurahkan ilmu dan sudah tentu mahu melihat anak-anak muridnya berjaya.
Penulis ada kisah bagi mengenang jasa guru. Guru penulis ini pernah mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Kesusteraan Melayu sekitar tahun 1980 dan 1981 di sebuah sekolah menengah luar bandar di daerah Rembau, Negeri Sembilan.
Cara guru ini mendidik amat membekas di hati penulis. Biar pun sekolah kami di kawasan luar bandar, kurang kemudahan , bukan sekolah berprestasi tinggi tetapi beliau begitu berdedikasi, mengajar dengan memberikan perhatian terhadap kefahaman murid, senantiasa menambah kosa kata, mementingkan estetika dalam penulisan dan memotivasikan pelajar agar rajin membaca, pandai menulis serta berfikir kreatif.
Berkat kesungguhan guru tersebut, penulis mencapai kejayaan dalam peperiksaan SPM pada tahun 1981. Mata pelajaran Bahasa Melayu penulis meraih gred cemerlang. Selebihnya sudah menjadi sejarah.
Kira-kira 10 tahun lalu, guru kesayangan penulis ini meninggal dunia apabila rumahnya terbakar hangus. Beliau yang menghadapi kesukaran berjalan ketika itu terperangkap dalam kebakaran tersebut dan meninggal dunia akibat kejadian “fatal” itu.
Moral ceritanya, kita akan selalu mengingat jasa dan pengorbanan guru walaupun jasadnya sudah berpisah meninggalkan dunia yang fana ini.
Penulis sendiri menganggap guru ini sebagai ibu angkat kerana selepas habis persekolahan, ikatan persaudaraan kami karar berpanjangan.
Sebenarnya, banyak lagi kisah-kisah menarik, padat mesej dan catatan moral bila memperkatakan jasa seseorang guru.
Mesej utamanya, jangan sesekali melupakan jasa guru, pengorbanan dan kecekalan mereka. Sajak Guru oleh Sasterawan Negara, Usman Awang memang tepat menggambarkan peranan dan pengaruh guru.
Selamat Berbakti buat semua guru yang masih berkhidmat. Alfatihah buat guru-guru yang telah berhijrah ke negeri abadi. Jasamu tidak pernah terabaikan, tetap harum mewangi dan semerbak di sepanjang pergerakan zaman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
