GUA MUSANG – Tidak ada hari yang menggembirakan, melainkan dapat hadir dalam program perjumpaan semula kawan-kawan sekelas di sekolah, walaupun berpisah sekian lama kerana menjalani kehidupan masing-masing.
Itulah pengalaman yang dirasai kira-kira 20 bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang di Kelantan, apabila mereka disatukan dalam program ‘reunion’ pada Sabtu minggu lalu.
Sekitar 43 tahun dahulu, iaitu tahun 1979, mereka bertemu kali pertama dalam Darjah Satu, kemudian belajar menuntut ilmu akademi selama enam tahun sehingga 1984, hanya kini mereka bertaut dalam suasana penuh harmoni dan terharu.
Menurut penyelaras program, Muhamad Jafari Zakaria, kali pertama majlis seumpama itu diadakan pada 2016 iaitu sembilan tahun lalu, ketika masing-masing berusia 44 tahun.

Katanya, selepas menamatkan pembelajaran di tingkatan lima, ada yang meneruskan pengajian di peringkat universiti dan tidak kurang juga sudah memulakan kerjaya bagi meneruskan kehidupan.
Namun, katanya, kerjaya itu menuntut antara mereka untuk berada di luar jajahan seperti di Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kota Bharu dan sebahagian lagi di jajahan Gua Musang.
“Walaupun berpisah kerana tuntutan kerja, kami masih berhubung antara satu sama lain menerusi aplikasi media sosial dan kami tidak terputus persahabatan sejak kecil hingga ke dewasa.
“Bagi merapatkan hubungan persahabatan, kami menganjurkan program perjumpaan semula untuk kali pertama pada tahun 2016 dan kali kedua pada Sabtu lalu.
“Kegembiraan, keceriaan dan rasa terharu jelas tergambar dalam diri masing-masing. Paling seronok, ketika di sekolah dahulu, hanya kami yang bertemu, kini semua sudah mempunyai keluarga. Jumlah kami semakin ramai,” katanya kepada Nasionaldaily.
Menurut beliau, perjumpaan pada Sabtu lalu diadakan di sebuah rumah tumpangan di bandar utama Gua Musang dengan aktiviti solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang diimamkan salah seorang daripada mereka iaitu ustaz Sabri.
“Selepas itu, kami mengisi aktiviti dengan acara menarik seperti ujian minda atau kuiz, cabutan bertuah, penyampaian cenderamata, sumbangan dan saguhati.
“Ujian minda ini sebagai mengenang permainan kuiz yang mengisi masa belajar kami sepanjang enam tahun di SKGM. Ternyata, semuanya masih memiliki ingatan yang tajam dan jawapan yang tepat walaupun sudah lebih 40 tahun meninggalkan bangku sekolah.
“Insya-Allah, jika diizinkan, kami akan menganjurkan lagi program seumpama ini pada masa akan datang dengan lebih meriah lagi,” ujar beliau.
Kata Muhamad Jafari, perjumpaan baru-baru ini mengamit kenangan lama dan baharu yang sukar dilupakan kerana persahabatan mereka bagaikan aur dengan tebing. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001