Pemandu pacuan empat roda direman dua hari langgar lari pasangan naik motosikal

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pemandu kereta pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan membabitkan pasangan suami isteri menunggang motosikal berkuasa tinggi sebelum Plaza Tol Duta ke pusat bandar pada jam 2.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 32 tahun itu direman selama dua hari selepas membuat laporan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 6.55 petang hari yang sama.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang juga lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada bahagian buku lali, manakala isterinya mengalami kecederaan serius.

“Wanita berusia 49 tahun itu mengalami kecederaan patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan dalam otak akibat pelanggaran itu. Kedua-duanya sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta pacuan empat roda cuba memotong sebuah motosikal lain, sebelum gagal mengelak mangsa dan melanggar bahagian kanan motosikalnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah kereta pacuan empat roda melarikan diri selepas melanggar motosikal ditunggang pasangan suami isteri terbabit. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *