Simbah asid: “Jangan aniaya saya…” – Faisal Halim

PEMAIN kebangsaan, Faisal Halim mahu terus memandang ke depan dan memajukan kariernya walaupun perasaannya bercampur-baur berhubung siasatan terhadap kesnya yang disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota.

Selepas setahun, pasukan peguam yang diamanahkan kelab Selangor itu dalam sidang media kelmarin menjelaskan perkembangan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan tidak dapat mengesan sebarang petunjuk.

“Sebagai mangsa, saya kecewa. Benda pun dah jadi, dah lepas. Saya berharap sangat berilah saya (peluang) kembali dalam kancah bola sepak.

“Kalau ada yang tidak kena, beritahulah saya. Jangan aniaya saya. Saya tiada salah silap dengan siapa-siapa, saya rasalah.

“Kalau ada salah silap, beritahulah daripada buat macam ini. Saya ada keluarga untuk ditanggung, karier yang saya kerja dari kecil.

“Saya orang kampung. Saya susah di kampung, saya jadi seorang pemain bola sepak bukan untuk kejar kesenangan, tapi kejayaan untuk menjadi pemain terbaik.

“Apa yang boleh saya katakan, saya terima dengan hati yang terbuka, saya reda. Inilah ruang untuk saya kembali dalam bola sepak.

“Saya hanya fokus kepada karier. Saya tidak mahu fikir kes, NFA atau apa. Itu tugas pihak polis.

“Saya tidak pasti sama ada boleh terima (atau tidak). Saya cuma mahu fokus kepada karier,” katanya yang berkongsi ilmu bersama penyokong di Mengkuang Titi, Pulau Pinang, sebentar tadi. – Laporan Astro Awani

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *