Polis buru 11 lagi suspek kes pergaduhan di Bintulu

BINTULU – Polis giat memburu 11 lagi suspek yang masih bebas, dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan di sebuah pusat hiburan di sini 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata hingga semalam, sembilan individu terdiri lapan lelaki dan seorang wanita, berusia lingkungan 20-an hingga 40-an telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati terdapat 11 suspek lain yang masih bebas dan dipercayai terbabit dalam insiden sama. Polis tidak akan berkompromi dan komited dalam mengesan semua suspek ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nixon mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi mengenai kes itu dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes ASP Mohammad Hashim Kasman di talian 014-6817837 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di 086-318304.

Dalam kejadian itu sekitar 1 pagi, satu pergaduhan dilaporkan berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan, mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.

Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta di sini, sebelum dibawa ke Hospital Umum Bintulu dan kemudian disahkan meninggal dunia. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *