De Bruyne bantu Man City atasi Wolves

MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengucapkan terima kasih kepada Kevin de Bruyne yang menjaringkan gol ketika kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers – perkara yang sering pemain itu lakukan sebelum ini.

De Bruyne meledak gol tunggal permainan (m-35) di Stadium Etihad untuk memberikan kemenangan penting buat City dalam pemburuan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan – sekali gus mengingatkan pasukannya itu apa yang bakal mereka hilang sebaik dia pergi.

Pemain 33 tahun dari Belgium itu pada bulan lalu mengumumkan yang dia akan meninggalkan City sebaik kontraknya tamat akhir musim ini.

“Hanya terima kasih. Sumbangannya dalam perlawanan menentang Crystal Palace ketika kami ketinggalan 2-0 dan dia membantu, hari ini sekali lagi dengan gol itu.

“Saya gembira ia berakhir begitu dan kami mempunyai satu lagi perlawanan di Etihad,” kata Guardiola berkenaan jaringan De Bruyne.

De Bruyne mendakwa dia terkejut kerana tidak ditawarkan lanjutan kontrak oleh City, dan berkata dia masih mampu memberikan sumbangan kepada pasukan.

“Ramai rakan sepasukan berkata yang ia menyedihkan kerana saya juga perlu pergi, tetapi itulah hakikatnya dalam kehidupan dan saya rasa cara saya bermain dan menjadi rakan sepasukan… saya sudah memberikan segalanya serta mahu memenangi permainan.

“Saya rasa saya membuktikan yang saya masih mampu bermain, jika tidak saya tidak dapat lakukan apa yang saya buat sepanjang empat atau lima minggu terakhir,” kata De Bruyne.

Guardiola kelihatan tidak selesa apabila ditanya adakah kemungkinan untuk De Bruyne melanjutkan kontrak di Etihad.

“Saya mahu yang terbaik untuk Kevin jadi mustahil untuk mencapai apa yang dicapai beberapa tahun lalu tanpanya. Dia pemain yang luar biasa tetapi inilah situasinya sekarang.

“Hampir mustahil untuk menggantikan pemain seperti ini. Bukan hanya persembahannya, tetapi kehadirannya buat peminat-peminat untuk sekian lama. Kejayaan yang kami capai milik pemain-pemain,” katanya.

Pemain tengah itu menjulang 16 trofi sejak menyertai City dari kelab Jerman, VfL Wolfsburg pada tahun 2015 – termasuk enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2023. Dia turut dinobatkan Pemain Liga Perdana Terbaik sebanyak dua kali.

City yang kini belum tewas dalam tujuh perlawanan terakhir liga, naik ke tangga ketiga pada 64 mata selepas 35 perlawanan, dua mata di depan Newcastle United dan empat mengatasi Chelsea serta Nottingham Forest yang semuanya kurang satu perlawanan berbanding City.

Wolves, yang deretan enam kemenangan mereka berakhir di tangan City, kini di tangga ke-13 liga. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *