Polis tahan enam lelaki selesai kes tembak kurang 12 jam

KUCHING – Seramai enam suspek ditahan manakala sepucuk pistol bersama peluru dirampas berkaitan dengan seorang lelaki ditembak mati dalam kenderaan ketika melalui Jalan Stephen Yong Kuching, pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu ditahan di lokasi berbeza antara jam 4 hingga 5.30 petang hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini terlibat dalam kejadian yang berlaku dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Turut dirampas sebuah kereta dan sepucuk pistol berserta 10 butir peluru,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Irwan Hafiz berkata, susulan tangkapan tersebut kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 12 jam.

“Kesemua suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, lelaki tersebut ditemui mati dipercayai terkena tembakan di bahagian kepala ketika berada di dalam kereta jenis Perodua Myvi.

Dua rakan mangsa telah datang ke Balai Polis Batu Kawa, kira-kira jam 5.30 pagi bagi memaklumkan kejadian tersebut dan hasil pemeriksaan, terdapat dua kesan tembakan pada bahagian kepala dan lengan kanan mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *