Paparan salah Jalur Gemilang: KPM mohon maaf atas kecuaian

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam kenyataannya, KPM berkata, tindakan tegas akan diambil secara serta-merta ke atas semua yang terlibat.

“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

“Tindakan tegas dan serta-merta telah diambil ke atas semua yang terlibat serta siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan,” katanya.

KPM juga meminta agar laporan analisis tersebut dikembalikan semula kepada pihaknya dan pembetulan segera akan dilakukan.

Berdasarkan salinan laporan analisis yang dilihat Astro AWANI, terdapat kesilapan Jalur Gemilang pada muka surat 4, 14, 15, dan 16.

Laporan analisis tersebut telah dikongsikan kepada petugas media selepas pengumuman mengenai keputusan SPM 2024 dibuat oleh Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk teguran daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah agar pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *