ANKARA (Bernama) – India semalam, menggantung perjanjian air yang berlangsung selama beberapa dekad dengan negara jirannya, Pakistan, sehari selepas insiden tembakan oleh penyerang tidak dikenali terhadap pelancong di Kashmir.
New Delhi turut mengisytiharkan penasihat pertahanan, tentera laut dan udara Pakistan di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di New Delhi sebagai persona non grata serta memberi tempoh seminggu untuk meninggalkan negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Kerajaan India juga menutup lintasan sempadan di Wagah dan akan mengehadkan pemberian visa kepada warganegara Pakistan di bawah rangka kerja serantau SAARC, menurut kenyataan rasmi.
Sekurang-kurangnya 26 terbunuh dalam serangan bersenjata pada Selasa terhadap pelancong di Kashmir, menyebabkan Perdana Menteri Narendra Modi memendekkan lawatannya ke Arab Saudi.
Keputusan itu diambil dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Keselamatan Kabinet yang dipengerusikan oleh Modi di New Delhi.
India juga akan menarik balik penasihat pertahanan, tentera laut dan udara yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi India di Islamabad.
Lima anggota sokongan kepada penasihat pertahanan di kedua-dua suruhanjaya tinggi juga akan dipanggil balik.
Sementara itu, Pakistan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negara pada Khamis untuk menentukan langkah balas terhadap keputusan unilateral India.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan dihadiri oleh ketua-ketua perkhidmatan angkatan bersenjata serta pegawai tinggi lain.
India turut mengumumkan penggantungan Perjanjian Air Indus (IWT), perjanjian perkongsian air berusia 64 tahun yang dimeterai dengan Pakistan.
Di bawah perjanjian yang dimeterai pada 1960 dengan perantaraan Bank Dunia, kedua-dua negara berkongsi air dari enam sungai.
Menurut beberapa pakar, penggantungan perjanjian ini dijangka memburukkan lagi ketegangan sedia ada dan memberi kelebihan kepada India dalam pengurusan sumber air.
Tindakan itu menandakan kali pertama perjanjian digantung secara sepihak sejak ia dimeterai lebih enam dekad lalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001