Oleh Abd Ghafar Daud
RANTAU PANJANG – Hazimah Mohd Razali, 40, dari Kampung Gual Tok Deh dekat sini, berkebolehan membuat ketupat daun palas seawal usia 20 tahun.
Menurutnya, pada usia itu beliau sudah mula mempelajari cara membuat ketupat tersebut dengan nenek.
Katanya lagi, bermula dari mengukus beras pulut, mengadunkannya bersama santan dan membungkus menggunakan daun palas tiada masalah baginya hingga kini.
“Alhamdulillah, dengan kebolehan saya membuat ketupat daun palas ini, ramai dari kalangan penduduk kampung juga dari luar membuat tempahan sebelum dan selepas hari raya baru-baru ini.
“Hari ini saya terima tempahan sebanyak 1,000 biji ketupat daun palas dan 2,000 tapai dari pelanggan di Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di sini.
Kata Hazimah, selepas hari raya baru-baru ini banyak tempahan diterima untuk majlis hari raya sama ada di sekolah mahupun pejabat kerajaan hingga tidak menang tangan dibuatnya sampai meminta bantuan ibu mentua dan dua rakan sekampung.
“Sebiji ketupat tidak sama harganya antara ketupat lemak, manis dan ketupat serunding.
“Jika ketupat serunding ikan atau daging, harga sebiji tidak sama dengan harga ketupat lemak dan manis.
“Begitu juga tapai, berbeza harganya antara dibungkus dengan daun pisang, daun getah mahupun dalam bekas plastik,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001