Berang potong barisan menunggu, dua lelaki bergaduh

JOHOR BAHRU – Memotong barisan ketika menunggu bas dipercayai menjadi punca pergaduhan antara dua lelaki, yang rakaman videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku di laluan bas masuk ke Singapura, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, awal pagi semalam.

Lapor Berita Harian, polis telah menerima laporan polis dari lelaki tempatan berumur 21 tahun yang merupakan salah seorang individu dalam kejadian itu, pada jam 7 pagi semalam.

“Menurut siasatan awal, pergaduhan dipercayai berpunca daripada tindakan salah seorang individu memotong barisan, sekali gus mencetuskan ketegangan hingga membawa kepada insiden fizikal.

“Suspek yang disyaki lelaki India masih belum buat laporan dan belum dikenalpasti.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video kejadian tersebut bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Polis juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Sivakumaran di talian 019-5127410.

Pihak Polis Johor Bahru Selatan memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan sentiasa menjadi keutamaan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai.

Terdahulu, tular di media sosial dua lelaki bergaduh di antara kedudukan dua buah bas, dalam insiden itu kedua-dua lelaki saling bertolak dan memukul antara satu sama lain dan bertengkar mulut.

Suasana tegang itu ditenangkan beberapa individu di lokasi kejadian.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *