Perancis mungkin iktiraf negara Palestin pada Jun 2025 – Macron

ISTANBUL – Presiden Emmanuel Macron menyatakan Perancis mungkin akan mengiktiraf negara Palestin “dalam beberapa bulan akan datang.”

Dalam wawancara bersama saluran France 5 pada Rabu, Macron berkata, beliau menjangkakan memuktamadkan langkah itu semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Israel-Palestin, yang bakal dianjurkan secara bersama oleh Perancis dan Arab Saudi pada Jun depan.

“Kita mesti bergerak ke arah pengiktirafan dan kita akan lakukannya dalam beberapa bulan akan datang,” kata Macron.

“Saya tidak melakukannya untuk menyenangkan sesiapa. Saya akan lakukannya kerana pada suatu ketika ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” tambah beliau.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin menyambut baik kenyataan Macron dan menyifatkan pendirian itu sebagai “langkah ke arah yang betul, selaras dengan usaha untuk mempertahankan hak rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara.”

Kenyataan Macron dibuat di tengah-tengah desakan antarabangsa yang semakin meningkat untuk penyelesaian politik terhadap konflik di Gaza, di mana Israel telah membunuh lebih daripada 50,000 orang sejak Oktober 2023 serta perselisihan yang lebih luas antara Israel dan Palestin.

Pada Februari 2024, Macron menegaskan, mengiktiraf negara Palestin bukanlah “tabu untuk Perancis” dan menggambarkan langkah tersebut sebagai keperluan moral dan politik.

“Kita berhutang kepada rakyat Palestin yang cita-cita mereka telah diinjak-injak terlalu lama. Kita berhutang kepada rakyat Israel yang mengalami pembunuhan anti-Semit terbesar dalam abad kita.

“Kita berhutang kepada sebuah rantau yang mendambakan untuk bebas dari penggalak kekacauan dan penabur balas dendam,” katanya ketika itu.

Pada masa ini, 147 daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf negara Palestin.

Pada Mei 2024, Sepanyol, Ireland dan Norway menyertai senarai itu menjadikan jumlah negara Kesatuan Eropah (EU) yang mengiktiraf Palestin sebanyak 10 buah negara. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *