Kehilangan Batu Puteh: Ulasan bersandarkan alasan hakim minoriti

Oleh: Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

BATU Puteh (BP) atau Pedra Blanca terletak di 7.7 batu nautika dari Tanjung Penyusuh (Romania Point), Selatan Johor dan 24 batu nautika dari Timur Singapura.

Pada Jumaat, 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (MKA) di The Hague, Belanda dalam penghakiman majoriti 12 orang hakim (empat hakim minoriti) telah memberikan BP kepada Singapura, manakala 15 hakim majoriti (satu hakim minoriti) telah memberikan Batuan Tengah kepada Malaysia dan Tubir Selatan kepada negeri di dalam perairan wilayah di mana ia terletak (satu hakim minoriti). Satu hakim minoriti yang sentiasa berpihak kepada Singapura itu adalah Hakim Mr. Sreenivasa Rao Pemmaraju dari India yang dilantik oleh Singapura.

Dalam prinsip perundangan antarabangsa, tindakan pihak-pihak (conduct of the parties) yang perlu diambil kira mestilah sehingga ke tarikh kritikal. Tarikh kritikal ditetapkan oleh MKA pada 14 Februari 1980 ketika Singapura membantah Peta yang dikeluarkan oleh Malaysia pada 1979 yang bertajuk “Territorial Waters and Continental Shelf Boundaries of Malaysia” yang memasukkan BP dalam sempadan perairannya.

Bersandarkan dokumen dan keterangan yang dihujahkan Malaysia, penghakiman majoriti MKA memutuskan bahawa keseluruhan pulau (islands) dan pulau-pulau kecil (islets) dalam Selat Singapura adalah milik sah Kesultanan Johor. MKA menggunakan istilah hakmilik asal (original title) dan hakmilik purba (ancient title) untuk mengesahkan kekuasaan Kesultanan Johor kepada BP. Kesultanan Johor disahkan telah meneruskan kedaulatan terhadap kawasan itu secara aman dan berterusan (peaceful and continuous display of territorial sovereignty atau  effectivités) apabila Kesultanan Johor mentadbir urusan Orang Laut yang mendiami kawasan Selat Singapura itu. Oleh yang demikian BP, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan terra nullius seperti yang didakwa Singapura.

MKA juga memtuskan bahawa perjanjian Anglo-Dutch yang ditandatangani pada Mac 1824 dan Perjanjian Crawfurd yang ditandatangani pada Ogos 1824 tidak mengubah penguasaan Kesultanan Johor lama terhadap Singapura dan wilayah-wilayah berdekatan. Tambahan pula, melalui surat bertarikh 25 Jun 1825, Sultan Abdul Rahman telah “mendermakan” wilayahnya kepada Sultan Hussein yang telah menguatkan lagi penguasaan Johor lama dalam rantau tersebut.

Seterusnya, MKA telah memeriksa peristiwa yang berlaku pada tahun selepas 1840an iaitu apabila Sultan Johor telah memberikan kebenaran kepada British untuk membina Rumah Api Horsburgh di Pedra Blanca itu melalui surat bertarikh 25 November 1844 yang ditujukan oleh kepada Gabenor Butterworth di Singapura. Pembinaan Rumah Api itu dimulakan pada tahun 1847 dan siap pada tahun 1851. Malaysia berhujah bahawa rumah api yang ditadbir oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat ini tiada bezanya dengan pentadbiran rumah api di Pulau Pisang yang terletak di Selat Melaka yang mana pulau-pulau itu masih kekal milik Malaysia. Negeri-Negeri Selat atau Singapura hanyalah pengendali kepada rumah-rumah api tersebut.

Namun, MKA mendapati bahawa tiada bukti konklusif untuk menjawab persoalan sama ada Sultan Johor telah memajak (ceded) keseluruhan BP kepada British atau kebenaran itu hanya diberikan untuk pembinaan rumah api sahaja. MKA telah membezakan maksud kedaulatan (sovereignty) atau hanyalah pemilik rumah api (property rights).

MKA telah membezakan keadaan BP dan Pulau Pisang. Terdapat perjanjian tahun 1885 dan Indentur tahun 1900 yang jelas menunjukkan Sultan Johor tidak pernah memajak Pulau Pisang kepada British. Yang ada hanyalah satu geran tanah khas dibuat hanya untuk pembinaan rumah api itu sahaja. MKA juga telah merujuk kepada cadangan pembinaan rumah api di Pulau Aur dan Konvensyen Rumah Api Cape Spartel yang dimuktamadkan antara Morroco dan beberapa wilayah maritim yang menjelaskan hak dan tanggungjawab pihak-pihak tersebut. Namun, keadaan berlainan di BP kerana tiada apa-apa perjanjian bertulis yang menunjukkan Sultan Johor memajak keseluruhan BP kepada British.

Mahkamah juga telah memberikan pemberat kepada keputusan Singapura untuk tidak mengibarkan benderanya di Pulau Pisang apabila diminta oleh Malaysia. Namun, tiada permintaan yang sama dibuat oleh Malaysia ke atas BP. Peta Rasmi Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 1979 juga menunjukkan Malaysia merujuk rumah api di BP sebagai “Horsburgh Lighthouse “Singapore” tetapi tiada nama “Singapura” untuk rumah api di Pulau Pisang.

Seterusnya, MKA juga bersetuju bahawa Hakmilik BP kekal di bawah Kesultanan Johor selama 100 tahun selepas itu (antara tahun 1852 sehingga 1952) tanpa gangguan sehinggalah MKA mengambil kira surat menyurat antara Johor dan Singapura pada tahun 1953 sebagai faktor tunggal untuk memutuskan bahawa kedaulatan BP telah berpindah kepada Singapura.

Mr. J.D. Hingham, Setiausaha Kolonial Singapura telah menulis kepada Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor untuk mendapatkan penjelasan mengenai status BP kerana Singapura berpendapat bahawa BP dan Pulau Pisang sama-sama tidak termasuk dalam Perjanjian Crawfurd 1824 itu. Namun yang membezakan BP dan Pulau Pisang, terdapat perjanjian bertulis tahun 1885 dan Identur tahun 1900 berkaitan Pulau Pisang itu, tetapi tiada apa-apa dokumen pajakan berkenaan BP.

Singapura bertanyakan sama ada terdapat apa-apa dokumen pajakan atau geran yang dikeluarkan oleh kerajaan Johor terhadap BP. Lalu dijawab oleh Pemangku Setiausaha Negeri Johor melalui surat bertarikh 21 September 1953 bahawa Johor tidak mahu menuntut ketuanpunyaan (ownership) BP. Surat ini telah diisytiharkan oleh MKA sebagai satu penafian hakmilik yang jelas serta satu bentuk estoppel dan akujanji sepihak (unilateral undertaking) daripada Malaysia.

Namun, Malaysia berhujah bahawa Pemangku Setiausaha Negeri Johor yang menjalankan tugas pada masa itu sememangnya tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk melaksanakan penyerahan atau penafian sedemikian kerana Perjanjian Johor 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah meletakkan kuasa Johor dalam menjalankan urusan antarabangsa di tangan Great Britain. Namun, hujah ini ditolak oleh Mahkamah kerana kedua-dua Perjanjian 1948 itu tidak relevan berikutan surat Pemangku Setiausaha itu menjawab surat daripada Mr. J.D. Hingham sebagai wakil British Crown itu sendiri, dan bukannya kuasa asing.

Seterusnya, penghakiman majoriti ini mengambil kira tindakan Malaysia dan Singapura yang berlaku antara tahun 1953 sehingga tempoh kritikal tahun 1980 sebagai “tacit agreement” atau perjanjian tersirat dalam memutuskan bahawa BP adalah hakmilik Singapura.

MKA mengambil kira bahawa effectivités Singapura itu telah dianggap sebagai tindakan titre de souverain (hak kedaulatan) dan bukan hanya sebagai pengendali rumah api sepertimana yang dihujahkan oleh Malaysia dengan melaksanakan tindakan berikut iaitu:

a). Penyiasatan Singapura terhadap bangkai kapal:

Kapal Panama adalah kecelakaan laut terakhir yang berlaku pada tahun 1979 yang disiasat oleh Singapura. Mahkamah juga menegaskan bahawa hanya pada bulan Jun 2003 Malaysia membantah terhadap tindakan Singapura ini.

b). Kawalan eksklusif Singapura terhadap lawatan ke pulau tersebut:

Mahkamah mendapati bahawa tindakan Singapura berhubung dengan kelulusan yang diberikan atau tidak diberikan kepada pegawai Malaysia dalam konteks tinjauan perairan sekitar pulau pada tahun 1978.

c). Pengibaran Panji-Panji Marin (ensign) Singapura di Pedra Branca:

Tindakan pengibaran panji-panji marin di mercu tanda Horsburgh tanpa protes daripada Malaysia. Hujah ini telah dibantah oleh Profesor James Crawford yang mewakili Malaysia bahawa sebelum panji-panji marin Singapura itu dikibarkan, panji-panji marin British telah berkibar di Rumah Api Horsburgh lebih seabad lamanya. Malaysia menegaskan bahawa hanya panji-panji marin sahaja dikibarkan dan bukannya bendera Union Jack mahupun bendera kebangsaan Singapura.

d). Pemasangan peralatan komunikasi tentera oleh Singapura:

Sebuah stesen siaran tentera dipasang di BP pada 30 Mei 1977 untuk mengatasi kesulitan komunikasi. Malaysia menyatakan bahawa pemasangan itu dilakukan secara rahsia dan hanya menyedarinya selepas menerima pemberitahuan daripada Singapura.

Kesemua faktor yang diambil kira oleh penghakiman majoriti itu dilihat oleh hakim minoriti sebagai tidak memenuhi prinsip perundangan antarabangsa tentang pemilikan sesuatu wilayah (acquisition of state territory).

Hakim yang berbeza pendapat iaitu Hakim Dugard memutuskan bahawa kesemua tindakan Singapura itu tidak boleh dianggap sebagai tindakan titre de souverain berdasarkan alasan berikut:

a). Penyiasatan Singapura terhadap bangkai kapal:

Ini merupakan salah satu tanggunjawab Singapura sebagai pengendali rumah api.

b). Kawalan eksklusif Singapura terhadap lawatan ke pulau tersebut:

Diamnya Malaysia terhadap kawalan ini perlu dianggap sebagai sikap hormat Malaysia terhadap authoriti Singapura sebagai penerima pajak (lessee).

c). Pengibaran Panji-Panji Marin (ensign) Singapura di Pedra Branca:

MKA sepatutnya mengenakan “adverse inference” kerana Singapura hanya mengibarkan panji marin dan bukan bendera kebangsaannya. Sebaliknya, adverse inference itu dikenakan terhadap Malaysia yang tidak membantah pengibaran panji marin di BP. Malaysia tidak membantah kerana BP dianggap tidak berpenghuni sedangkan Malaysia telah menzahirkan protes ke atas pengibaran panji marin oleh Singapura di Pulau Pisang yang berkeluasan lebih besar daripada BP selain mempunyai penduduk.

Kegagalan Singapura untuk mengibarkan bendera kebangsaannya menunjukkan bahawa Singapura tidak yakin mereka mampu menunjukkan kedaulatannya terhadap PBP kepada umum.

d). Pemasangan peralatan komunikasi tentera oleh Singapura:

Pemasangan ini dan tambakan tanah oleh Singapura dilakukan tanpa pengetahuan Malaysia.

Seterusnya, Hakim Dugard memutuskan bahawa Penghakiman Majoriti gagal untuk mengenakan adverse inference terhadap kegagalan Singapura untuk membantah tindakan atau effectivites yang dibuat oleh Malaysia secara terbuka iaitu:

(a). Perjanjian Pelantar Benua 1969/1970 antara Malaysia dan Indonesia yang mengehadkan kawasan sempadan perairan dan pelantar benua masing-masing;

(b). Perjanjian Konsesi Minyak dengan satu Syarikat Continental Oil pada tahun 1968;

(c). Penerbitan banyak peta yang menunjukkan Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayah Malaysia;

(d). Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No. 7 tahun 1969 yang memperluaskan had perairan wilayah Malaysia dari 3 hingga 12 batu nautika [Batu Puteh hanya 7.7 batu nautika dari pantai Johor;

(e). Pelaksanaan peraturan-peraturan perikanan dan penguatkuasaan undang-undang.

MKA juga begitu bermurah hati dengan Singapura apabila tidak mengenakan adverse inference berikutan kegagalan penerbitan rasmi Singapura untuk memasukkan BP sebagai wilayah Singapura, dan menolak dakwaan yang dibuat pada tahun 1966 oleh J. A. L. Pavitt, yang menjadi Pengarah Marin di Singapura selama bertahun-tahun, bahawa BP tidak termasuk dalam wilayah Singapura.

Tindakan Malaysia yang menyenaraikan mercu tanda Horsburgh sebagai “Stesen Singapura” dalam dua laporan meteorologi telah diambil kira MKA sambil menolak penjelasan Malaysia bahawa laporan itu sekadar merujuk kepada “sebuah stesen hujan Singapura”.

Seterusnya, MKA telah mengabaikan fakta bahawa Singapura tidak memasukkan BP sebagai sebahagian daripada Singapura dalam mana-mana peta yang diterbitkannya antara tahun 1847 dan 1995.

Hakim Dugard juga menyatakan kandungan surat Singapura itu mengelirukan kerana tidak membezakan antara undang-undang umum (public law) tentang kedaulatan negara dan undang-undang persendirian (private law) tentang pemilikan harta.

Disebabkan itu, Hakim Dugard telah mengkritik keputusan MKA untuk menerima jawapan daripada Pemangku Setiausaha Johor itu sebagai deklarasi sepihak yang menafikan hak Malaysia terhadap kedaulatan BP. Hakim Dugard telah berpendapat bahawa jawapan Johor itu boleh membawa maksud menafikan ketuanpunyaan tanah tempat terbinanya rumah api Horsburgh dan bukannya melepaskan terus kedaulatan BP kepada Singapura. Tambahan pula, tindakan Pemangku Setiausaha Johor yang mendapatkan nasihat daripada Pesuruhjaya Tanah dan Lombong serta Ketua Juruukur Johor dan bukannya penasihat politik dan urusan asingnya, menunjukkan bahawa jawapannya kepada Singapura itu adalah merujuk kepada hak ketuanpunyaan tanah rumah api tu sahaja, bukannya keseluruhan kedaulatan BP.

Hakim Dugard juga telah mengkritik kelemahan pasukan peguam Malaysia yang hanya membangkitkan isu had kuasa seorang setiausaha yang menulis surat jawapan tahun 1953 itu dalam bahagian penutup hujahan lisan mereka dan bukannya dalam hujahan bertulis. Perlu diingat bahawa Singapura telah menyatakan dari awal lagi bahawa surat setiausaha Johor itu langsung tiada kena mengena dengan hubungan luar Johor dan oleh itu prinsip omnia praesumuntur rite esse acta (urusan rasmi dianggap dijalankan dengan betul menurut undang-undang) adalah terpakai.

Seterusnya, Hakim Dugard mempersoalkan jika surat kerajaan Singapura pada tahun 1953 itu adalah untuk menentukan sempadan maritim Singapura, mengapa pihak berkuasa mereka tidak mengumumkan bahawa Malaysia telah melepaskan hak kedaulatan BP kepada Singapura. Mereka juga tidak mengibarkan bendera kebangsaan Singapura di BP, tidak memasukkan BP dalam petanya, tidak menerbitkan dalam brosur dan seterusnya tidak mendaftarkan perjanjian antara Singapura dan Malaysia berkenaan BP ini dibawah Artikel 102 Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu.

Penghakiman majoriti ini juga dikritik oleh penghakiman minoriti kerana gagal mengambil kira prinsip utama pengambilalihan sesuatu wilayah (acquisition of territorial sovereignty) berdasarkan kaedah preskripsi (prescription) oleh kerana BP diakui sendiri oleh sebagai bukan Terra Nullius.

Dalam kes Pulau Kasikili/Sedudu (Botswana v. Namibia), MKA menerima bahawa untuk suatu tuntutan berdasarkan preskripsi berjaya, syaratnya adalah pemilikan adalah secara à titre de souverain, tindakan mengambil alih wilayah itu secara aman, tidak terganggu, terbuka dan berterusan untuk tempoh masa tertentu. Keterbukaan adalah syarat penting untuk preskripsi.

Syarat preskripsi ini tidak dihujahkan oleh Malaysia apatah lagi Singapura kerana jika dihujahkan, maka Singapura akan gagal dalam usaha mendapatkan hakmilik BP.

CLJ berpendapat bahawa kegagalan Malaysia mendapatkan PBP adalah disebabkan MKA gagal mengaplikasikan prinsip undang-undang antarabangsa secara tepat dan benar. CLJ sependapat dengan Hakim Dugard bahawa MKA dilihat terlalu baik dengan Singapura tetapi tidak menyebelahi Malaysia dalam banyak perkara.

CLJ juga turut terkilan dengan keputusan kerajaan untuk menarik balik semakan tentang PBP di MKA walaupun Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan semula kedaulatan PBP yang diwarisi turun terumun daripada Kesultanan Johor Lama.

Artikel ini ditulis oleh Peguam Nadia Aziz bagi pihak Concerned Lawyers for Justice pada 06.04.2025 (No. telefon: 010-4027696) dan email: nac.lawco@gmail.com

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *