SUBANG JAYA – Kejadian kebakaran saluran paip utama gas bawah tanah Petronas yang menjadi punca kebakaran besar berhampiran Putra Heights, Subang Jaya diisytihar sebagai Bencana Tahap Satu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed memberitahu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah pun dibuka susulan kejadian itu.
Menurut beliau, PPS berkenaan terletak di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
“PPS ini akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Petronas Gas Berhad (PGB) mengesahkan saluran paip utama gas bawah tanah Petronas disahkan menjadi punca kebakaran besar yang berlaku berhampiran Putra Heights, Subang Jaya, pagi tadi.
Menurut PGB, saluran paip utama itu telah pun diasingkan.
Pada masa sama, katanya, pihak berkepentingan juga telah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, PGB memberitahu stesen runcitnya berhampiran lokasi kejadian tidak terjejas ekoran kebakaran berkenaan.
Sebelum itu, UtusanTV melaporkan kebocoran saluran gas di stesen minyak Petronas, Jalan Putra Harmoni, Putra Heights disyaki menjadi punca kebakaran besar yang tular di media sosial sejak pagi tadi.
Setakat pukul 10 pagi tadi, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memberitahu, kebakaran masih berlaku dengan pihak Petronas telah pun menutup injap saluran paip yang terbakar.
“Api juga telah merebak ke beberapa buah rumah di sekitar kawasan kebakaran dengan anggota bomba telah berjaya mengeluarkan tujuh orang mangsa termasuk dua warga emas.
“Jumlah mangsa dan kemerebakan api di sekitar kawasan rumah masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001