BANGKOK – Gempa bumi kuat yang berpusat di Myanmar menggegarkan Asia Tenggara hari ini, mengakibatkan kematian dan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur awam.
Dalam masa yang sama, anggota penyelamat di Bangkok masih bergelut untuk mengeluarkan 81 individu yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan yang masih dalam pembinaan.
Menurut saksi, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh di bandar Taungoo di Myanmar apabila sebahagian binaan sebuah masjid runtuh, manakala media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan 20 cedera selepas sebuah hotel runtuh di Aung Ban.
Di Thailand, Menteri Pertahanan berkata, pasukan penyelamat sedang giat meneruskan pencarian membabitkan 81 orang yang terperangkap dalam runtuhan bangunan pencakar langit yang sedang dalam pembinaan.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata tiga kematian direkodkan di tapak bangunan itu.
Beliau memberi amaran kemungkinan berlaku gegaran susulan dan orang ramai dinasihatkan supaya bertenang.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa memaklumkan situasi semasa di sebahagian besar kawasan adalah terkawal.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu melanda tengah hari tadi, berukuran 7.7 magnitud dan pada kedalaman 10 kilometer (6.2 batu).
Pusat gempa itu kira-kira 17 kilometer dari sebuah bandar Myanmar, Mandalay, yang dihuni kira-kira 1.5 juta penduduk.
Gempa itu diikuti dengan gempa susulan yang kuat dan beberapa lagi gegaran sederhana.
“Kami semua berlari keluar dari rumah apabila merasai gegaran.
“Saya menyaksikan bangunan lima tingkat runtuh di depan mata.
‘Semua orang di bandar ini berada dijalan dan tiada siapa yang berani masuk semula ke dalam bangunan,” kata seorang penduduk di Mandalay.
Menurut media kerajaan Myanmar, gempa bumi itu menyebabkan runtuhan beberapa bangunan di lima bandar dan pekan, jambatan kereta api dan jambatan jalan raya di Lebuhraya Yangon-Mandalay.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001