SHAH ALAM – Dua anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kematian seorang anggota pasukan itu, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua prebet yang masing-masing berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Kem Sri Miri pada jam 4.30 petang Selasa.
Menurutnya, polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman kedua-dua suspek selama tujuh hari.
“Kes itu kini sedang dalam siasatan oleh polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh,” katanya.
Sehubungan itu, Alexson meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
Allahyarham Muhammad Muqriz disahkan meninggal dunia di Hospital Miri pada Isnin, dipercayai akibat kecederaan dalaman kerana disyaki didera oleh senior.
Difahamkan, dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem berkenaan telah dikejutkan oleh dua senior untuk bersahur.
Sebelum bersahur, dua senior terbabit telah mengarahkan mangsa melakukan ‘commando rest’, iaitu posisi pacak kepala di lantai dengan tangan ke belakang selama dua minit, dan tekan tubi sebanyak 20 kali.
Selepas itu, mangsa dilaporkan pitam sebelum kejadian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Mangsa segera dihantar ke Hospital Miri, namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 pagi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001