06/03/2025:
NARATHIWAT – Penyanyi Eda Ezrin atau nama Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, belum dibenarkan keluar dari Penjara Wilayah Narathiwat biarpun telah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz berkata, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam tempoh sebulan.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya belum dibenarkan keluar dan perlu berada dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya kepada pemberita.
Sinar Harian melaporkan penyanyi lagu “Bae Sobar Bae” itu bersama lima yang lain serta ahli keluarga mereka menangis sebaik sahaja Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand membebaskan mereka daripada pertuduhan.
Semua ahli keluarga yang hadir masing-masing berpelukan dan menangis tanda syukur di atas pembebasan tersebut.
Sebelum itu, sepanjang berada dalam mahkamah ketika hakim membacakan penghujahan, kelihatan Eda Ezrin tidak berhenti berzikir dan berdoa untuk dibebaskan.
Begitu juga dengan ahli keluarga yang menunggu keputusan dengan penuh debaran walaupun tidak memahami apa yang diperkatakan kerana sepanjang prosiding di mahkamah menggunakan bahasa Thailand.
Seorang penterjemah berada di hadapan keenam-enam tertuduh memainkan peranan menterjemah kembali apa yang dihujahkan oleh hakim.
Terdahulu, Eda Ezrin, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November tahun lalu.
Eda Ezrin, suami dan empat rakannya didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada 14 Januari lalu.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah, namun tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok.
Semasa prosiding perbicaraan pada 14 Februari lalu, Eda Ezrin memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bahawa terdapat empat individu dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik masuk ke dalam biliknya sebelum polis melakukan serbuan.
Sementara itu, keluarga berharap Eda Ezrin akan dibenarkan pulang sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ayahnya, Wan Ismail Wan Yusof, 52, berkata, walaupun Eda Ezrin serta suami dan empat lagi rakan telah dibebaskan daripada tuduhan, mereka masih ditahan di penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
“Jika tiada rayuan dibuat, mereka akan dibenarkan pulang. Kami berdoa Eda Ezrin dapat pulang menyambut hari raya bersama-sama kami di Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Khamis.
Menurutnya lagi, keluarga juga akan mengadakan kenduri doa selamat sempena kepulangan dan pembebasan Eda Ezrin apabila dia pulang nanti.
Dalam masa sama, Wan Ismail memberitahu, apa yang berlaku kepada Eda Ezrin serta suami dan rakan-rakannya itu diharap dapat menjadi pengajaran kepada semua.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001